Saya Akan Sertai Umno Pada Masa Yang Tepat, Kata Dr Mahathir

PUTRAJAYA, 18 Sept (Bernama) -- Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau hanya akan kembali menyertai Umno pada suatu masa yang tepat.

Bercakap kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini Khamis malam, Mahathir yang juga bekas presiden parti itu berkata pelbagai pihak telah berusaha meyakinkan dan memujuknya agar kembali kepada Umno.

"Saya sedang memikirkan untuk menyertai semula Umno, tetapi saya akan menentukan sendiri masa yang sesuai.

"Permohonan (untuk menyertai semula Umno) adalah satu perkara, penerimaan mereka juga harus difikirkan. Jadi saya mahu waktu yang tepat (untuk menyertai semula)," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau didatangi oleh banyak pihak yang meyakinkan beliau bahawa beliau boleh membawa kebaikan kepada Umno, parti yang menjadi tulang belakang kerajaan Barisan Nasional, jika menyertainya semula.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berpendapat penulis blog Raja Petra Kamarudin dan Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok tidak harus ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mereka tidak melakukan ketegangan.

Beliau berkata adalah tidak benar sekiranya kedua-dua individu terbabit didakwa menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara hanya kerana meluahkan pandangan masing-masing.

Beliau mendakwa keadaan sekarang tidak begitu tegang jika dibandingkan pada 1987 yang menyaksikan 106 ahli politik ditahan dalam Operasi Lalang.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.