Ulat tiket kepanasan - JPJ umum ‘perang’ habis-habisan


ORANG ramai terus berasak-asak di Hentian Putra, Kuala Lumpur bagi mendapatkan tiket bas tambahan untuk perjalanan musim perayaan.


KUALA LUMPUR - Sindiket 'ulat' kini mula kepanasan menghadapi kemungkinan berkubur ekoran tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula semalam menggerakkan seramai 2,500 anggota penguat kuasa ke seluruh negara menangani masalah berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, jika didapati bersalah, lesen dan permit syarikat bas yang menggunakan khidmat 'ulat tiket' dan sewenang-wenangnya menaikkan harga tiket semasa musim perayaan akan dibatalkan serta-merta.

Menurutnya, pengusaha bas tidak mempunyai sebab untuk menaikkan harga tiket atau menggunakan khidmat ulat tiket kerana kerajaan sudah memberi kuota subsidi diesel dan surcaj 30 peratus bagi meringankan beban mereka.

"Kita akan siasat dan jika didapati tambang yang dikenakan berlebihan, pembatalan lesen dan permit akan dilakukan," katanya selepas pelancaran kempen jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi di sini semalam.

Ia bukan setakat memerangi 'ulat' malah operasi juga akan menumpukan kepada kesalahan-kesalahan lain seperti pemakaian walkie-talkie di kalangan mereka untuk memerangkap orang ramai.

"Kali ini, kita akan jalankan 'perang' habis-habisan tanpa sebarang kompromi... kita tak mahu para pengguna terus menjadi mangsa mereka yang nak kaut keuntungan tak tentu hala ini,'' katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Meskipun JPJ berjaya menangkap 46 'ulat' dalam satu operasi di Hentian Pudu Raya kelmarin, tetapi mereka masih belum berpuas hati.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, JPJ juga akan segera melaksanakan operasi 'pembersihan kaunter' bagi menangani masalah 'ulat' tiket.

Menurut Pengarah Penguat Kuasa JPJ, Salim Parlan, kaunter tiket bas perlu dijadikan sasaran utama untuk membanteras kegiatan 'ulat' berikutan ia menjadi nadi kepada syarikat pengusaha bas.

"Kaunter merupakan ejen kepada syarikat pengusaha bas untuk penjualan tiket jadi apabila pihak kaunter bersekongkol dengan 'ulat' ia akan merosakkan segalanya," katanya.

No comments

Powered by Blogger.