Tee Keat nafi spekulasi tentang EGM MCA

Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat hari ini menafikan spekulasi bahawa para perwakilan parti itu merancang untuk mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).

Bercakap dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Timbalannya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek selepas sambutan ulang tahun ke-60 parti itu di Wisma MCA di ibunegara, Ong berkata beliau sudah letih untuk menjawab khabar angin tentang hubungannya dengan timbalannya itu, lapor Bernama

Sebelum ini tersebar desas-desus yang mengadakan ada pihak dalam MCA yang sedang mengutip tandatangan perwakilan untuk mengadakan EGM bagi menyingkirkan Tee Keat.

Ong berkata beliau telah menyemak dengan ramai ahli jawatankuasa pusat (CC) dan seperti beliau juga, mereka turut terkejut dengan berita tentang EGM itu.

"Tiada EGM...EGM apa. Adakah saya meminta untuk diadakan EGM ataupun sesiapa meminta diadakan EGM?.

"Hakikatnya untuk pengetahuan anda, saya ada menyemak dengan anggota CC dan semua turut terkejut," katanya kepada pemberita ketika ditanya tentang spekulasi itu.

"Kadang-kadang ramai termasuk saya...kami terkejut bahawa ada perkara-perkara diputar-belitkan. Bagaimanapun sudah tentu kami tidak dapat menghalang orang untuk melakukannya. Dan nasib baik kami ada peluang untuk menyemak dengan orang lain, termasuk Dr Chua, jadi kami boleh mendapatkan penjelasan.

"Bila saya berbisik dengan Dr Chua, kami berdua sama-sama rasa terperanjat (dengan berita ini). Ini yang mengejutkan," katanya.

Ong berkata beliau dan Dr Chua sentiasa berbincang dan bertukar pandangan berkenaan isu dan perkara penting.

"Saya dan pasukan saya termasuk timbalan presiden, setiausaha agung dan setiap anggota CC telah bercambah fikiran panjang lebar dan akan terus berbuat demikian dan mengusahakan program-program (untuk parti)," katanya .

Sementara itu, Dr Chua mengulangi kenyataannya semalam bahawa beliau tiada masalah bekerjasama dengan sesiapa termasuk presiden parti dan ahli MCA lain yang dipilih.

No comments

Powered by Blogger.