adakah kabinet baru najib berkiblatkan rosmah atau mahathir?



PERDANA Menteri, Mohd Najib Razak kini mula sibuk untuk menyusun barisan kabinetnya. Orang ramai juga sedang menunggu-nunggu untuk melihat bagaimanakah rupa bentuk Kabinetnya.

Di mana-mana saja orang bercakap fasal Kabinet baru itu. Najib perlu mengambil masa untuk menyusun Kabinet, mengenal pasti siapa yang akan menganggotainya. Beliau ada masa dan tidak perlu gelabah. Masa terbaik beliau umumkan Kabinetnya ialah selepas selesai pilihan raya kecil di tiga tempat kini.

Kabinet pertama ini penting kerana di sinilah memberi gambaran wibawa Najib sebagai PM baru. Apakah beliau mampu dan larat memacu negara dan menghadapi pelbagai isu yang menjejaki langkahnya dewasa ini. Cabaran yang sedang menunggu Najib adalah besar sekali terutamanya mengenai persepsi mengenai dirinya.

Sudah tentunya Najib tidak akan mengekalkan Kabinet yang ada sekarang ini yang disusun oleh Abdullah Badawi. Najib mahu memperkenalkan Kabinetnya sendiri dan perkara ini sudah menjadi satu tradisi bila berlaku peralihan kuasa akan berlakulah penyusunan Kabinet baru.

Yang menarik dalam hal ini siapakah yang akan menjadi penasihat Najib dalam menyusun Kabinet ini? Apkah beliau akan rujuk kepada Dr Mahathir Mohamad ataupun bertanya kepada isterinya, Rosmah Mansor atau sekumpulan pemikirnya profesional yang lain?

Banyak orang prejudis pemerintahan Najib akan dibayangi oleh kuasa wanita nombor wahid negara, Rosmah. Tuduhan dan tanggapan ini kerana berpandukan kepada apa yang berlaku sebelum ini. Bagaimana pun dalam menilai keupayaan Najib membentuk Kabinet ini mungkin tidak perlu membabitkan Rosmah. Sewajarnya Rosmah menyerahkan kerja orang lelaki kepada lelaki saja.

Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir ada mencadangkan kepada Najib supaya tidak mengambil mereka yang korup dalam Kabinetnya sekiranya Najib mahukan perubahan. Mahatahir nampak begitu mengambil berat untuk melihat kabinet Najib bersih. Mahathir telah menjual dirinya agar difikirkan untuk menjadi pakar rujuk Najib.

Kehadirannya pada hari akhir perhimpunan agung Umno seolah-olah Mahathir memberi tahu Najib bahawa beliau masih ada berkeupayaan dan bersedia membantu Najib.

Soalnya apakah masih ada sebaris orang yang bersih untuk menganggotai Kabinet Najib?

Sekiranya siasatan berhubung dengan salah guna wang (rasudah) oleh Lembaga Disiplin Umno semasa menjelang perhimpunan agung baru-baru ini diketagorikan sebagai korup maka boleh dikatakan hampir semua pemimpin Umno korup? Jadi di manakah orang-orang bersih yang bakal menjadi anggota Kabinet Najib?

Kerana semua mereka yang bertanding merebut jawatan utama terlibat dengan rasuah, cuma bezanya sedikit atau banyak saja. Yang dapat dikesan ataupun terlepas kerana ada ehsan-ehsan tertentu.

Bagaimana pun terlalu awal untuk mengagakkan sesiapakah yang akan dikekalkan oleh Najib dalam Kabinetnya. Apakah Najib tetap membezakan atau mengambil kira lebel atau kem yang dicapkan kepada setiap orang Umno sebelum ini. Yang mana ada dicapkan sebagai orang Abdullah dan orang Najib.

Persoalan ini menguji sejauh mana kebijaksanaan Najib menyeleasaikannya. Tidak mungkin kalau beliau ingin ketepikan mereka yang sebelum ini dibawa masuk ke dalam Kabinet oleh Abdullah dan dianggap sebagai orang Abdullah. Kerana kalau awal-awal lagi Najib membuat pengasingan itu ia membuka perpecahan dalam Umno.

Beberapa orang yang dianggap sebagai orang Abdullah, ialah Ahmad Shabery Cheek, Azalina Othman Said, Ismail Sabri Yaacob, Rais Yatim, Syed Hamid Albar dan Shahrir Samad. Shahrir mungkin tidak menjadi masalah kerana beliau sudah pun meletak jawatan.

Saya tidak mengira orang-orang ini semua diketepikan oleh Najib. Syed Hamid dan Rais Yatim mungkin akan dikekalkan salah seorang atau keduanya sekali. Mereka ini menteri berpengalaman perlu dikekalkan dalam Kabinet Najib setidak-tidaknya boleh dijadikan penawar.

Jika Najib mahu seorang pengampu yang cerdik dan berilmu ambillah 'lesung hindik' bernama Rais Yatim. Manakala kalau mahukan seorang yang komited dengan tugas dan tanggungjawabnya kekalkan Syed Hamid Albar.

Azalina Othamn Said semacam sudah pasti akan digugurkan. Cara SPRM menganggui Azalina semasa perhimpunan baru-baru ini menjelaskan bahawa ada yang tidak berkenan dengan Azalina. Tenguk saja selepas selesai perhimpunan agung Umno SPRM terus diam tanpa meneruskan tindakan apa-apa.

Orang-orang utama – panglima Najib seperti Zahid Hamidi, Hishamuddin Hussein dan Shafei Afdal tentu akan diberikan tugas utama. Mereka pasti akan diletakkan di kementerian yang boleh berfungsi memberi kekuatan kepada Najib dan Umno meskipun dari segi keupayaan dan kepakaran mereka ada yang boleh dipertikaikan.

Muhyiddin Yaasin yang akan menjadi timbalan perdana menteri sudah tentu akan memegang jawatan menteri kanan. Najib tentu akan memberi baksis kepada Muhyiddin atas keberhasilan pelan peralihan kuasa. Kebiasaanya kalau tidak Menteri Pertahanan tentulah Menteri Dalam Negeri akan diserahkan kepada TPM.

Manakala tempat Muhyiddin mungkin Najib akan memperkenalkan muka baru, mungkin orang luar parti tetapi yang mahir dalam ekonomi dan perdagangan. Jawatan ini penting kerana ialah menjadi penghubung perdagangan luar dengan Malaysia.

Untuk menempatkan di kememterian ini Mustafa Mohamad juga mungkin boleh dipertimbangkan. Menteri Pertanian Industeri dan Asas Tani ini ada pengalaman mengenai ekonomi dan pengurusan kewangan.

Dalam memerhati Kabinet Najib ini yang ingin dilihat ialah bagaimanakah nasib ketua pemuda Umno yang baru Khairy Jamaluddin. Apakah Khairy akan dibawa masuk dalam Kabinet dengan diberi jawatan timbalan menteri sebagai latihan? Ataupun apakah Khairy terus diberikan jawatan menteri serasi dengan kedudukkan menteri Belia dan Sukan seperti mana yang diterima oleh Hishamuddin Hussein.

Kalau Najib mendapat pandangan Dr Mahathir dalam menyusun Kabinetnya, saya percaya nasib Khairy akan menjadi seperti nasib Zahid Hamid dulu di mana beliau menang jawatan ketua pemuda tetapi tidak diberikan apa-apa jawatan dalam Kabinet. Tidak mustahil kalau dendam Mahathir masih menyala Khairy akan menjadi mangsa keadaan.

Mungkin kejutan akan berlaku dalam hal ini. Orang yang kalah dalam pertandingan ketua pemuda mungkin akan diberi peranan yang lebh utama daripada yang menang. Kedudukan Mukhriz nanti mungkin lebih baik daripada Khairy atau Khir Toyo walaupun Mukhriz kalah di tempat kedua. Dengan kuasa dan tiupan ajaib Mahathir nanti ia boleh melenakan Najib untuk memberi peranan kepada Mukhriz.

Jika ini berlaku jelaslah Najib tidak dapat melepasi badannya dari naungan kekuasaan dan rasa hormatnya kepada Mahathir. Situasi ini bakal memberi masalah kepada Najib di masa akan datang. Beliau harus berusaha melepaskan diri daripada rasa hormat melampau dan akur kepada Mahathir kalau beliau benar-benar ingin melakukan perubahan dalam Umno dan kerajaan. Sudah sampai masanya Najib menunjukkan keberaniannya yang sebenar.

mso!

No comments

Powered by Blogger.