Fairuz Dakwa Namanya Telah Dibersihkan Daripada Siasatan SPRM

PULAU PINANG, 22 April (Bernama) -- Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairuz Khairuddin mendakwa namanya telah dibersihkan daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli politik dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa telah dimaklumkan oleh pegawai SPRM berhubung perkara itu petang Rabu.

"Saya dimaklumkan bahawa nama saya telah dibersihkan dan kes ini telah pun selesai. Saya bersyukur bahawa akhirnya kebenaran berpihak kepada saya," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Mohamad Fairuz, 33, yang dikaitkan dengan siasatan rasuah membabitkabn projek kuari di Pulau Pinang, meletakkan jawatan timbalan Ketua Menteri 1 pada 8 April lalu.

Beliau juga melepaskan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada 16 April lepas atas alasan ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat pasca ijazah.

Mohamad Fairuz berkata berkat kesabarannya mengharungi saat getir dikaitkan dengan isu rasuah kuari, akhirnya membuahkan hasil apabila kebenaran berpihak kepadanya.

Beliau, yang baru mendapat anak lelaki hari ini, menganggap berita baik ini sebagai kegembiraan berganda buat dirinya.

"Inilah berkat kesabaran kita berjuang kerana agama dan bangsa, Alhamdulillah," kata Mohamad Fairuz.

Bagaimanapun, pegawai SPRM tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan dakwaan tersebut.



-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.