Ganabatirau dilarang keluar kenyataan media selama setahun



TAHANAN ISA
..Pemimpin Hindraf, V.Ganabatirau yang dibebaskan tengah hari tadi tidak dibenarkan mengeluarkan kenyataan media selama setahun.



SHAH ALAM: Peguam pertubuhan haram Hindu Rights Action Force (Hindraf) V. Ganabatirau yang dibebaskan dari Kem Tahanan Kamunting, Taiping, tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan media bagi tempoh setahun mulai tarikh pembebasannya hari ini.

Perkara itu dinyatakan oleh adiknya, Papparaidu sambil menegaskan larangan itu antara syarat yang ditetapkan oleh kerajaan terhadap pembebasan abangnya.

"Ini yang abang saya cakap tapi dia tidak cakap mengenai syaratsyarat lain," katanya kepada pemberita selepas menyambut kepulangan Ganabatirau di rumah mereka di Jalan Kemuning dekat sini petang tadi.

Ganabatirau dikenakan tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 31 Disember 2007 kerana didapati terlibat dalam pergerakan Hindraf yang dilihat boleh mencetuskan isu berbaur perkauman dan menjejaskan keselamatan negara.

Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri pada 3 April lepas, mengumumkan pembebasan 13 tahanan ISA, termasuk tiga rakyat asing dan dua peguam Hindraf Ganabatirau dan R. Kenghadharan.

Kesemua 13 tahanan terbabit keluar dari kem tahanan hari ini.

Ganabatirau tiba di rumahnya dengan menaiki sebuah Proton Waja kirakira 5.50 petang dan disambut sekitar 60 penyokong sebelum dibawa berarak sejauh 30 meter dalam keadaan hujan.

Kepulangan beliau yang ditunggutunggu sejak 3 petang turut diserikan dengan paluan gendang kaum India serta letupan mercun selain dijunjung penyokongnya sebagai tanda penghormatan.

Sementara itu, isteri Ganabatirau, B. Buvaneswary yang kelihatan ceria ketika ditemui pemberita berkata dia begitu gembira apabila suaminya yang tercinta sudah kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat.

Katanya tahap kesihatan Ganabatirau didapati kurang baik kerana suaminya sebelum ini pernah mengalami sakit di bahagian leher serta menghidap darah tinggi.

"Saya hanya menunggu laporan kesihatan suami saya dari Hospital Ipoh, Perak yang dijangka diperoleh pada Rabu ini untuk mengetahui tahap kesihatan yang sebenarnya.

"Selepas mendapat laporan itu, barulah rawatan perubatan selanjutnya akan diberikan kepada suami saya supaya dia dapat pulih sepenuhnya daripada penyakit tersebut," katanya. BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.