Isu Perak: NGO sifatkan keputusan gagal dokong undang-undang

KUALA LUMPUR, 17 APRIL (SK) - SEBUAH badan NGO, Aliran kecewa dengan tindakan mahkamah semalam yang menafikan kuasa Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) yang menggantung Menteri Besar BN Perak, Zambry Abd Kadir dan enam ahli exconya dari menghadiri sidang Dun.

Menurut Presiden Aliran, P. Ramakrishnan keputusan berkenaan adalah begitu mengecewakan dan akan memberi kesan kepada prinsip demokrasi.

Mahkamah semalam telah memutuskan bahawa tindakan Speaker itu adalah terbatal tidak sah kerana Sivakumar tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

“Keputusan ini akan memberi kesan yang mendalam kepada prinsip demokrasi yang menghormati doktrin pengasingan kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman,” katanya dalam satu kenyataan kepada Suara Keadilan.

Jelas Ramakrishnan lagi, keputusan berkenaan juga telah menghancurkan ketetapan bahawa pengasingan kuasa akan dipelihara dan dijaga menurut peraturan undang-undang oleh pihak kehakiman.

“Bidang kehakiman sekali lagi gagal untuk mendokong peraturan undang-undang bagi kepentingan keadilan di negara ini,” katanya lagi.

Pada 18 Februari lalu, Speaker Dun, V Sivakumar mengambil tindakan untuk menggantung dan melarang Menteri Besar daripada menghadiri sidang Dun berkuat kuasa serta-merta selama 18 bulan.

Manakala exco kerajaan negeri yang dilantik oleh Zamry digantung untuk menghadiri sidang Dun selama setahun pada masa yang sama.

Keputusan Mahkamah berkenaan yang diputuskan oleh lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Alauddin Mohd Sherif semalam memutuskan bahawa keputusan berkenaan tidak sah.

Oleh itu, menurut hakim, Zambry dan enam exco terbabit boleh menghadiri sidang DUN yang akan datang.

1 comment

Pak Lubis said...

Bagaimana Hakim Hakim Mahkamah Persekutuan boleh sebulat suara membuat keputusan begitu ??? . Tak kan semua setuju . Apa terjadi dengan Per 72 dalam Perlembagaan Persekutuan .?

"Article 72, Clause (1) of the Federal Constitution clearly states:

72. (1) The validity of any proceedings in the Legislative Assembly of any State shall not be questioned in any court. "

Minta maaf .. kepada siapa yang tahu ....Adakah lain lain undang undang yang boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan.

Powered by Blogger.