Mampat: Pakatan mahu jatuhkan MB

Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) menyifatkan isu pemulauan sidang DUN oleh 10 ADUN Barisan Nasional semalam sebagai konspirasi untuk menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Pengerusinya Mohd Fauzi Abu Samah berkata, sejak awal lagi - sejak Mac tahun lalu - kumpulan berkenaan sudah tidak mengiktiraf Ahmad sebagai menteri besar.

"Kumpulan ini kecewa kerana ketua mereka tidak dilantik menjadi menteri besar," katanya kepada Malaysiakini.

Tambahnya, khabar angin bahawa kumpulan tertentu dalam BN mahu mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Ahmad sudah kedengaran sejak setahun lalu.

Mohd Fauzi berkata, kumpulan berkenaan kini memainkan isu lama yang mereka gunakan semasa membantah pelantikan Ahmad sebagai menteri besar setahun lalu.

Beliau juga mempertikaikan tindakan 10 ADUN itu memulaukan sidang dewan atas alasan keselamatan.

"Mengapa 10 orang yang berbuat demikian sedangkan cuma tiga yang menerima SMS yang didakwa berbaur ugutan.

"Ini menunjukkan mereka berpakat untuk menjatuhkan menteri besar," katanya.

Mohd Fauzi menambah, tindakan memulaukan sidang dewan juga menunjukkan mereka tidak yakin dengan jaminan pasukan keselamatan terhadap mereka.

Katanya, sepatutnya isu tersebut boleh diselesaikan dengan cara baik kerana mereka semua daripada Umno.

"Tetapi nampaknya mereka tidak mahu berbuat demkian, sebaliknya mahu memalukan menteri besar," katanya.

Sepuluh ADUN berkenaan menghadiri sidang DUN hari ini seperti yang diarahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mampat antara pertubuhan utama yang menyokong istana Terengganu - yang melantik Ahmad - dalam suasana tidak menentu akibat pergolakan antara ADUN Kijal itu dan penyokong bekas menteri besar, Datuk Seri Idris Jusoh.

No comments

Powered by Blogger.