sila ambik perhatian kaum wanit semua!

Perompak arah wanita bogel, rakam gambar

JOHOR BAHRU: Dua lelaki bersenjatakan pisau merompak seorang wanita dan mengarahkan mangsa berbogel sebelum gambarnya dirakam menggunakan kamera telefon bimbit.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang kelmarin, mangsa yang juga pemilik rumah kedai berusia 35 tahun di Taman Desa Cemerlang, di sini, menerima panggilan telefon daripada dua lelaki, memaklumkan kononnya mereka berminat melihat premis kosong wanita itu untuk disewa.

Selepas bersetuju, wanita dan lelaki berkenaan mengatur pertemuan di pekarangan premis itu sebelum naik ke ruang atas rumah kedai terbabit.

Bagaimanapun, wanita berkenaan kemudian diacu dengan pisau oleh salah seorang lelaki sebelum mereka bertindak merampas telefon bimbit, kad mesin juruwang automatik (ATM) serta wang bernilai RM200 milik mangsa.

Malah, wanita itu juga diarahkan supaya berbogel sebelum gambarnya dirakam menggunakan kamera telefon bimbit dan diugut supaya menyerahkan nombor pin kad ATM miliknya.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin, berkata mangsa yang tidak mengalami kecederaan membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Taman Desa Cemerlang.

"Sehubungan itu, polis kini sedang memburu dua penjenayah terbabit dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi talian hotline 07-2212999 atau balai polis terdekat bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang juruteknik berusia 41 tahun cedera parah selepas ditembak dua kali di bahagian perut oleh dua lelaki di depan rumah ibu mentuanya di Taman Johor, di sini, kira-kira jam 6 petang, kelmarin.

Mangsa yang bekerja di Singapura dipercayai ditembak selepas enggan menurut arahan supaya membuka pagar dan membenarkan dua penjenayah terbabit masuk ke dalam rumah itu.

Ketika kejadian, dua lelaki yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi hitam, berhenti di depan rumah milik ibu mentua mangsa sebelum keluar dan melepaskan tembakan amaran supaya pintu pagar dibuka.

Berikutan bimbang dengan keselamatan anak saudara serta ahli keluarga yang lain, mangsa dikatakan melawan sebelum berlaku pergelutan.

Isteri mangsa yang menyedari bunyi tembakan di luar rumah kemudian meluru ke pintu utama dan terkejut apabila suaminya ditembak dua kali di bahagian perut.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan, berkata mangsa dirawat di unit rawatan rapi Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dan keadaannya dilaporkan stabil.

"Kes ini diklasifikasikan sebagai cubaan rompak dan usaha memburu suspek sedang dijalankan," katanya.

No comments

Powered by Blogger.