slogan satu malaysia...rakyat keliru...satu malaysia..pemimpin balun projek...rakyat kering kocek!

Jangan jadikan Satu Malaysia retorik politik

KUALA LUMPUR 15 April – Konsep Satu Malaysia yang diutarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh diketengahkan sebagai retorik politik bagi mendapatkan sokongan politik semata-mata.

Pengerusi Majlis Amal Islamiah Malaysia (MAIM), Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad berkata, konsep itu melibatkan persoalan besar dan persoalan teras dalam pembentukan negara.

Justeru, menurut beliau, ia perlu diperjelaskan secara terperinci kepada orang ramai.

“Jika konsep Satu Malaysia itu bertujuan mengembalikan kepercayaan orang bukan Melayu terhadap Barisan Nasional (BN), ia dijangka membawa kebimbangan kepada orang Melayu ekoran hampir sama dengan konsep pakatan pembangkang.

“Apa pun penjelasan yang akan diberi, konsep itu mestilah berteraskan kontrak sosial yang dipersetujui oleh semua kaum,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Mohd. Nakhaie menegaskan, kesatuan negara dan pembinaan negara Malaysia harus mengambil acuan berteraskan faktor keislaman dan kemelayuan yang menjadi tunggak asasnya.

Katanya, budaya Melayu yang berasaskan agama Islam telah menjadi teras kepada kebudayaan bangsa Malaysia.

“Bahasa Melayu juga adalah Bahasa Kebangsaan rakyat Malaysia, institusi raja-raja Melayu pula institusi yang penting dalam negara, manakala Islam agama rasmi negara.

“Sehubungan itu, jika konsep tersebut dijadikan retorik politik dan dibiarkan dalam keadaan kabur ia pasti lebih menambahkan kekeliruan politik yang sedang dihadapi oleh rakyat,” jelasnya.

Beliau memberitahu, apa yang termaktub dalam perlembagaan kenegaraan sebenarnya sudah begitu jelas bagi membentuk perpaduan semua kaum dalam usaha menjadi satu bangsa Malaysia.

“Bagaimanapun, oleh kerana banyak kompromi dan ramai yang telah mengalah kepada konsep Malaysian Malaysia, masalah perpaduan masih berada di takuk lama.

“Seolah-olah negara ini baru mencapai kemerdekaan, manakala acuan kemelayuan dan keislaman negara ini pula seperti berada dalam keadaan terancam,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.