Datuk Nik Abdul Aziz (tengah) bersama Amy Search (kanan) dan Renggo (kiri).
Nyanyian Rock, Mengalir Air Mata Saya.. MB Kelantan
KOTA BHARU, April 11, 2009. MB Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui begitu tersentuh hati apabila mendengar nyanyian ikon rock negara Amy Saerch, terutama mendendangkan lagu-lagu berentak ketuhanan. “Sampai mengalir air mata saya mendengar Amy menyanyikan lagu-lagu begini dan apabila artis rock menyampaikan lagu-lagu ketuhanan ia telah menolak tanggapan negatif terhadap mereka,” katanya. Demikian menurut BERNAMA hari ini.
Beliau berkata untuk menyampaikan mesej keIslaman tidak semestinya hanya para ulama dan tok guru tetapi penyanyi rock juga berupaya menyampaikan mesej yang sama. “Apa pun kepada penyanyi saya nasihat jangan salah gunakan suara ke jalan yang tidak baik,” katanya.
Sementara itu, Amy Search menafikan telah menyertai parti PAS berikutan sering hadir pada majlis yang dianjurkan parti pembangkang itu termasuk pada Perhimpunan Belia Sempena Jubli Emas Pemuda PAS Kelantan yang diadakan di sini, hari ini. Desas desus penyanyi rock terkenal itu telah menyertai PAS timbul apabila rakan artisnya Renggo, penyanyi utama kumpulan Arrow, mengumumkan secara rasmi menyertai parti itu dan turut menyerahkan borang keanggotaan PAS kepada Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan pada majlis itu.
“Tidak…saya belum menyertai PAS dan kehadiran saya pada majlis politik ini adalah atas jemputan untuk membuat persembahan sama seperti Renggo… Apa yang saya buat perlu difikirkan dengan lebih teliti kerana ia akan menjadi ikutan kepada peminat setia saya.. Saya memang peminat Tok Guru (Nik Abdul Aziz) tapi belum terfikir untuk menyertai PAS,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman berkata beliau telah beberapa kali bertemu dengan Menteri Besar Kelantan itu pada beberapa majlis formal dan tidak formal dan bakal mengadakan konsertnya di sini pada Jun depan. Beliau berkata atas dasar profesional, kehadirannya pada majlis politik seperti itu tidak perlu dipolitikkan dan sebagai artis ia merupakan satu penghargaan apabila diminta membuat persembahan di hadapan Nik Abdul Aziz. Pada majlis itu Amy dan Renggo atau nama sebenarnya Mohd Zin Ramli turut menyampaikan beberapa lagu popular mereka.
Syabas kepada Renggo dan Amy. Semoga akan diiringi oleh artis-artis lain lagi.(AK)
http://www.ibnuhasyim.com
Nik Aziz terharu apabila artis berhijrah
KOTA BHARU, 11 April: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tidak dapat menahan kesedihan apabila terharu dengan penghijrahan artis-artis di negara ini yang semakin meminati Islam terutama Amy Serch.
Beliau yang merasmikan Himpunan Belia sempena Jubli Emas Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan itu tidak dapat menahan sebaknya apabila mengingatkan penghijrahan artis-artis dan golongan seni yang kini semakin ramai berminat pada Islam begitu menyentuh perasaannya.
“Tiada siapa yang menyangka artis dari kumpulan rock kini telah menjadi ‘ikon’ baru kepada remaja membawa mesej yang baik kepada golongan remaja.
“Perkara itu langsung tidak pernah terfikirkan oleh sesiapapun, namun jika itu kehendak Allah apapun boleh berlaku,”ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada berucap pada majlis itu yang diadakan di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-1V, di sini yang berakhir tengahari tadi.
Beliau turut menghayati tiga buah lagu yang disampaikan oleh Raja Rock Malaysia itu iaitu ‘Tiada Lagi’, ‘Menteri Di Ufuk Timur’ (yang ditujukan khas buat Nik Aziz) dan Isabella.
Keadaan cuaca yang tidak begitu panas memberi peluang peminat Amy Serch untuk mengikuti persembahannya dengan mudah.
Memandangkan majlis berkenaan diadakan pada siang hari, peminat Amy dapat melihat wajahnya dengan lebih jelas lagi.
Sempena program yang bertemakan ‘Jom Sertai PAS’ itu juga, vokalis kumpulan rock ‘Arrow’ Renggo atau nama sebenarnya Mohd Zin Ramli, 40 telah membaut kejutan apabila secarah sah menyertai PAS hari ini.
Beliau menyerahkan sendiri borang keahlian itu kepada Nik Aziz di atas pentas sebelum majlis berkenaan berakhir.
Turut menyaksikan majlis yang penuh ceria itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS, Datuk Ahmad Yaacob, anggota exco kerajaan negeri Haji Abdul Fatah Mahmood, Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah di samping beberapa orang pimpinan peringkat parti.
Renggo yang berasal dari Tanah Merah Kelantan juga terkenal dengan jolokan raja syahdu adalah antara 50 orang golongan belia lain yang turut menyertai PAS sempena majlis yang julungkali pernah diadakan di peringkat negeri itu.
Bagaimanapun Amy Serch yang juga turut bersyukur dapat bersama lagi dengan Tuan Guru yang menjadi ‘idolanya’ belum berbuat demikian.
Katanya, untuk ketika ini beliau ingin kekal imejnya sebagai seorang penyanyi rock dengan tidak menyertai mana-mana parti politik.
“Namun pada masa hadapan saya belum dapat tentukan lagi keadaan saya, jika itu (sertai PAS) kehendak Allah tidak mustahil saya akan berbuat demikian,”ujarnya.
Amy ketika berucap pada majlis itu turut menceritakan saat mula beliau bertemu dengan Nik Aziz yang turut hadir ke restorannya Cheng Ho di Kuala Lumpur.
Selepas itu bertemu lagi di tanah suci Mekah selepas tiga hari berada di sana untuk menunaikan umrah.
“Pada 19 April nanti Tuan Guru akan mengerjakan umrah lagi, sepatutnya saya juga akan ke sana, namun memandangkan keadaan tidak mengizinkan, saya terpaksa memilih tarikh lain,”ujarnya lagi.
No comments
Post a Comment