UMNO Bersembunyi di Balik Sehelai Lalang

Oleh darmasatria

" Semua rakyat Malaysia tahu bahawa UMNO Bahagian Permatang Pauh sedang menanti tanpa sabar kedatangan durian runtuh menjelang PRK DUN Penanti. Mereka mengetahui bahawa itulah satu-satunya cara yang tahu digunakan oleh UMNO sejak azali untuk memancing undi.

Cara kuno itu telah digunakan melalui projek mi segera dan pemberian wang tunai kepada pengundi. Wang yang diperkosakan itu ialah wang rakyat yang terdiri daripada pembayar pelbagai jenis cukai.

UMNO menggunakan projek mi segera dan pemberian wang tunai dalam PRK Permatang Pauh. UMNO menggunakan projek mi segera dan pemberian wang tunai yang lebih besar dalam PRK Kuala Terengganu. UMNO terus membahagi-bahagikan projek mi segera, pemberian wang tunai,tanah, dan basikal dalam PRK Bukit Gantang, Bukit Selambau, dan Batang Air. Harus diingat bahawa ratusan ribu juta ringgit wang rakyat dihanguskan oleh UMNO/BN untuk semua projek yang disebutkan itu.

Apa yang mereka dapat daripada perbuatan bodoh itu? Mereka hanya menang di Batang Air. Itu pun kerana pengundi di situ belum terbuka mindanya dan belum terdedah dengan pelbagai maklumat daripada sumber alternatif. Kawasan-kawasan seumpama inilah yang masih menjadi lubuk UMNO/BN. Barangkali mereka akan terus memiskinkan rakyat Sarawak dan Sabah untuk terus berkuasa. Hal ini tidak mungkin berlaku kerana PR sudah mula menapak kukuh di kedua-dua negeri itu.

Ini bermakna, semakin ramai pengundi bijaksana wujud di sesuatu DUN atau kawasan parlimen, semakin payahlah mereka memangkah dacing yang dah semakin senget itu. Mereka tidak termakan umpan yang dicampak oleh UMNO/BN. Mereka tidak menganggap umpan itu sebagai bantuan. Mereka menganggapnya sebagai hak yang sepatutnya mereka terima. Mereka benci sikap tidak ikhlas UMNO/BN setiap kali pilihan raya.

Apabila penerima tidak mengundi UMNO/BN, Muhyiddin mengecam mereka sebagai tidak tahu berterima kasih. Baru saja menjadi TPM, sudah buat perangai. Kecam pengundi bukan Melayu sesuka hati. Sekarang ini bukan saja orang Cina tak senang hati kepada UMNO malahan juga parti MCA. GERAKAN sudah jadi kaki bodek sejak Tsu Koon jadi menteri.

Dalam situasi dibenci oleh orang bukan Melayu, majoriti pengundi muda, dan sebahagian besar kaum terpelajar Melayu; PRK Penanti tiba-tiba muncul. Hal inilah yang menggelabahkan PM. Lalu dibuatlah tuduhan paling tak masuk akal, iaitu PR sengaja mengada-ngadakan pilihan raya. PR mempolitikkan pilihan raya. PR sengaja hendak membazirkan wang rakyat.

Selama ini siapa yang menghanguskan wang rakyat. Wang rakyat yang patut digunakan sepanjang masa untuk meringankan beban rakyat, ditabur dan dibazirkan oleh UMNO/BN untuk menagih undi dalam PRK. Mereka sedikit pun tidak rasa malu.

Kata orang tua-tua, "Meludah ke langit kena batang hidung sendiri". UMNOlah yang mula-mula sekali mengadakan pilihan raya dengan sengaja dan membazirkan wang rakyat.

Pada 2 Mei 1997, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Abu Hassan Omar dan ADUN Permatang, Jamaluddin Adnan telah meletakkan jawatan masing-masing. PRK diadakan serentak pada 29 Mei 1997. Jamaluddin Adnan memenangi kerusi Parlimen Kuala Selangor. Abu Hassan yang jadi ADUN Permatang dilantik menjadi MB Selangor bagi menggantikan Muhammad Muhd Taib yang meletak jawatan kerana pelbagai isu moral, termasuk melarikan anak perempuan raja dan tertangkap kerana bawa wang cash berjuta-juta ringgit di Australia.

Setelah beriang ria mengadakan PRK yang tak perlu dan membazirkan wang rakyat itu, kini UMNO/BN mengeluarkan tuduhan tak berasas kepada PR. Tidakkah tindakan mereka itu merupakan "Paku dulang paku serpih, mengata orang aku yang lebih"?

Tak perlulah mengata orang kalau sekadar menyorok di balik sehelai lalang. Rakyat di Penanti tidak akan percaya kepada anda. UMNOlah yang mula-mula sekali derhaka kepada raja. UMNOlah yang mula-mula sekali membentuk kerajaan melalui pintu belakang. UMNOlah yang mula-mula sekali mengadakan PRK sesuka hati. UMNOlah parti yang mula-mula sekali diharamkan angkara ahlinya sendiri. MB UMNOlah yang mula-mula sekali tak mahu letak jawatan bila sultan titahkan. Mungkin banyak lagi yang belum terbongkar, tetapi UMNO tetap menjuarai pertandingan pemula segala onar di bumi Malaysia ini.

Semakin banyak rahsia buruk UMNO terbongkar, semakin ramai rakyat tidak percaya kepada parti yang memperjuangkan konsep lapuk, iaitu ketuanan Melayu. Merekalah majoriti orang Islam dalam parti Melayu yang meremehkan ketuanan Islam. Kini, bergelumang pula dengan konsep "Satu Malaysia, Rakyat didahulukan, Prestasi diutamakan" yang tak tentu hujung pangkalnya.

UMNO/BN boleh terus beretorik. Katakanlah apa-apa yang lunak kepada rakyat. Selagi rasuah bersarang dalam tubuhmu, selagi salah guna kuasa beraja di hatimu, selagi kronisme penghilang haus dahagamu; janganlah berangan untuk memenangi hati rakyat lagi.

No comments

Powered by Blogger.