wahai rais yatim....belajar la dengan nik aziz!

Rais, Buatlah Sesuatu

Banyak orang melahirkan rasa tak seronok dengan tindakan Nabil memeluk kekasihnya, Irma Hasmie malam tadi. Dia buat begitu di hadapan jutaan orang yang menyaksikan majlis anugerah itu di dalam dewan atau di kaca TV. Dia berbuat begitu selepas diumumkan menang Anugerah Bintang Popular 2008.

Lebih mengejutkan lagi ialah jawapannya, “Saya peluk dia secara spontan, jadi saya tak menyesal sebab itu merupakan cara saya meluahkan perasaan gembira. Lagipun, dia merupakan tempat untuk saya meluahkan perasaan, semasa saya susah dan senang,” kata Nabil selepas majlis tersebut berakhir.

Apa pun alasan Nabil, tindakan itu dikira tersasar dari landasan adat dan agama. Luahan rasa tidak puas hati daripada orang ramai pula sememangnya berasas. Sekurang-kurangnya asas itu ialah budaya kita, Melayu.

Inilah yang merimaskan kita. Bila agaknya dunia hiburan kita akan dapat dibebaskan daripada belenggu aksi kurang manis sebegitu? Para artis kita saban tahun berhimpun, dengan pelbagai majlis anugerah, disiarkan secara langsung oleh stesen TV, majlis yang serba bergemerlapan dan mewah, penuh kegembiraan dan tepuk sorak, dan sering pula tercemar dengan aksi kurang manis seperti itu.

Sampai bila agaknya artis kita akan begitu? Adakah artis kita merasai bahawa mereka bebas daripada tanggungjawab agama apabila mereka berhimpun? Saya rasa tidak, sebab ramai yang pandai mengucapkan salam dan bertahmid apabila diumumkan menang. Persoalannya, mengapa aksi sebegitu terus berlaku?

Perubahan dalam dunia hiburan kita memerlukan komitmen politik. Penghibur kita dirasakan tidak mampu membuat perubahan dalam dunia mereka sendiri. Dunia itu perlu campurtangan orang lain, orang politik.

Setakat ini Nik Abdul Aziz dilihat mencampurinya. Campurtangan MB Kelantan itu tidaklah besar sangat tetapi setakat ini sekurang-kurangnya melembutkan hati Amy Search dan seorang lagi rocker untuk terus dengan dunia mereka, tetapi dikawal dengan tanggungjawawab agama.

Saya juga semakin berpuas hati dengan Siti Nurhaliza. Di samping suka dengan suaranya yang semakin merdu berbanding dahulu, saya juga suka dengan penampilannya malam tadi yang dikira semakin menghampiri kesempurnaan memenuhi tuntutan berpakaian berlandaskan agama. Mengapa artis lain tidak menirunya?

Popularitinya tidak berkurang, malah saya percaya rasa hormat umum kepadanya semakin subur dengan penampilannya itu.

Kepada Rais Yatim, tolonglah tengok-tengokkan dunia hiburan kita. Dunia itu perlukan sentuhan Rais.

Cuma persoalannya, bilakah Rais akan membuat sentuhan seperti sentuhan Nik Abdul Aziz? Atau pun, beranikah Rais seberani Nik Abdul Aziz?

Kami menunggu dan mengharap.

http://bongkarsauh.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.