Portfolio Exco Kedah Dirombak

Portfolio tiga anggota Exco kerajaan Kedah dirombak berikutan pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kulim, Lim Soo Nee (foto) yang mengisi tempat ADUN Lunas, Muhammad Radzhi Salleh, lapor Bernama.

Lim yang dilantik sebagai Exco Rabu lepas mempengerusikan portfolio Pembangunan Masyarakat, Tenaga Manusia dan Hal Ehwal Masyarakat Siam manakala M. Manikumar pula kini Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat India dan Pekerja Ladang.

Muhamad Radzhi sebelum keluar daripada PKR dan menjadi anggota Bebas pada 23 Ogos lepas ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Masyarakat, Tenaga Manusia dan Masyarakat Siam.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak ketika mengumumkan rombakan itu hari ini yang berkuatkuasa serta merta berkata portfolio Pembangunan Usahawan dikeluarkan daripada portfolio Datuk Amiruddin Hamzah.

Pembangunan Usahawan kini dibawah portfolio Dr Hamdan Mohamed Khalib yang turut mengekalkan portfolio Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan serta Kebudayaan.

Amiruddin akan menumpukan kepada Industri, Pelaburan, Sains, Inovasi dan Bioteknoloji, kata Azizan selepas mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman di sini.

Menteri Besar itu berkata Lim dijangka mengangkat sumpah sebagai Exco tidak lama lagi selepas mendapat tarikh daripada Istana.

No comments

Powered by Blogger.