Siapa Dulu Yang Harus Mohon Maaf ?

Oleh YB Mohd Firdaus Jaafar
Kecoh 1 Malaysia bila ada perwakilan dalam perhimpunan agung sebuah parti komponen BN lantang mengkritik Tun Mahathir Mohamad dan mengusulkan agar diberikan kalungan "selipar" kepada mantan PM Ke-4 itu kerana mencampuri urusan rumah-tangga parti itu.


Maka bangkitlah seorang demi seorang pemimpin pemuda parti komponen BN yang berpaksikan perjuangan kaum mengecam tindakan para perwakilan parti pimpinan Samy Vellu itu. Tindakan perwakilan itu dikategorikan sebagai tindakan melampau dan biadap terhadap seorang pemimpin agung abad ini.

Orang nombor 3 dalam ranking parti melayu ini bagi mewakili golongan dewasa turut mempertikaikan tindakan para perwakilan MIC yang disifatkan sebagai tidak menghargai jasa dan sumbangan Tun Mahathir yang cukup besar dalam membangunkan kaum India di Malaysia. Beliau menuntut presiden parti perwakilan yang melampau dan biadap itu memohon maaf secara terbuka kepada mantan PM itu.

Golongan veteran Umno pun nak tumpang glamour sama, mereka mengutuk tindakan perwakilan MIC yang disifatkan keterlaluan dan tidak pernah berlaku sebelum ini. Bagi mereka parti ini tidak boleh ditegur dan akan hilang pertimbangan bila kena tegur. Samy Vellu dituntut memohon maaf kepada bekas pengerusi BN itu.

Tidak cukup sekadar itu, hari ini bakal berlangsung satu sidang akhbar di Pulau Pinang oleh pemimpin-pemimpin NGO yang juga bertunjangkan "assabiyah melayu" bertujuan mengecam tindakan melampau dan biadap para perwakilan MIC yang mengkritik keras Tun Mahathir dan turut mengusulkan anugerah selipar kepada pemimpin yang banyak berjasa kepada negara itu. Bagi mereka, ini adalah satu penghinaan terhadap bangsa melayu yang tidak boleh dimaafkan.

Makanya boleh dikatakan lengkap sudah 1 Umno dengan kritikan ketiga-tiga golongan dan juga tindakan NGO-NGO yang mewakili sayap parti itu terhadap parti berasaskan kaum india di negara ini walaupun pemimpin wanitanya belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan setakat hari ini.

Apakah tindakan golongan tadi boleh menggambarkan betapa sayangnya mereka kepada bekas pemimpin negara yang berjasa seperti Tun Mahathir itu?

Kalaulah kerana sayang mereka kepada Tun Mahathir, tak mungkin mereka mengecam dan menghina Tun selepas Pak Lah jadi PM. Tentu ada dalam arkib RTM kenyataan para pemimpin parti kaum melayu yang mencaci dan mencerca Tun ketika itu. RTM kena simpan rakaman itu kerana ianya merupakan lipatan sejarah negara.

Kalaulah kerana cinta mereka kepada pemimpin yang pernah berjasa itu, tak mungkin mereka memperlekehnya dengan menganggap Tun sudah nyanyuk ketika mengkritik parti itu selepas Pak Lah jadi presidennya. Semua ahli parti mengiyakan cakap-cakap pimpinan parti, bekas presiden mereka sudah nyanyuk. Anak-beranak Tun tentu ingat wajah-wajah pemimpin yang memperlekehkan bapak kesayangan mereka itu.

Ternyatalah pemimpin dan ahli-ahli parti kaum melayu inilah yang lebih awal dan lebih banyak menghina dan mencela Tun Mahathir. Jadi, pemimpin dan ahli parti kaum melayu inilah yang sepatutnya terlebih dulu melutut memohon maaf kepada Tun sebelum minta presiden dan perwakilan parti kaum india berbuat demikian.

Yang hairannya, mengapa baru sekarang perasaan kasih dan cintanya mereka kepada pemimpin besar seperti Tun itu nak ditunjukkan?

Apakah ada maksud lain yang terselindung disebalik lakonan percintaan dan berkasih sayang untuk menutupi episod perkauman yang cuba dihidangkan untuk tatapan sepanjang bulan puasa tahun ini?

http://mohd-firdaus-jaafar.blogspot.com

No comments

Powered by Blogger.