UMNO Nak Tapis Calon Dengan Cermat! Susah Nak Cari Yang Baik!

Tapisan cermat calon BN di Bagan Pinang
Oleh Johari Ibrahim dan Mohd Anwar Patho Rohman
bhnews@bharian.com.my

PUTRAJAYA: Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, negeri Sembilan, akan melalui proses tapisan yang cermat, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, BN akan mengemukakan calon yang bukan saja diterima ahli parti, sebaliknya turut disokong rakyat bagi mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenangi parti itu pada pilihan raya umum lalu.

"Ya, kita akan lakukan (tapisan), kita selalu cermat dalam tapisan kecuali di (pilihan raya kecil) Permatang Pasir, ada sedikit kesilapan, tetapi walau apa pun kita selalu menyatakan calon sangat mustahak bukan saja kepada Umno, tetapi juga untuk rakyat menerima dan menyokongnya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan di sini, semalam.

Ditanya mengenai kemungkinan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad, akan diletakkan sebagai calon, Muhyiddin berkata:

"(Umno akan) tunggu nama (cadangan), jangan buat spekulasi."

Pada sidang media selepas melawat pelajar menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara (SKBD) di Kuala Lumpur, semalam, beliau berkata, BN tidak mengamalkan diskriminasi jantina ketika memilih calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang.

Sebaliknya, beliau berkata BN akan memilih calon paling layak dan sesuai untuk bertanding tanpa mengira jantina sama ada lelaki atau wanita kerana yang penting calon terbabit berkelayakan.

Di SEREMBAN: Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan undi pos berjumlah 4,854 di kalangan anggota tentera dan polis bukan jaminan kepada parti komponen itu untuk menang mudah dalam pilihan raya kecil kerusi DUN Bagan Pinang.

Beliau berkata, BN tidak akan sesekali bergantung kepada undi pos kerana keadaan sudah berubah, sekali gus menuntut petugas BN perlu bekerja keras bagi mempertahankan kerusi itu.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian wakilnya dari BN, Azman Mohammad Noor pada 4 September lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Isnin ini untuk menentukan hari penamaan calon dan pengundian.

Pada pilihan raya umum lalu, Azman yang menerima 6,430 undi menewaskan calon Pas, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

No comments

Powered by Blogger.