Patut La Ramai Orang Komplen Koh! Najib Akui Sebab Apa Pilih Koh

Koh dilantik menteri untuk hargai sumbangan Gerakan: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak, berkata beliau melantik Presiden Parti Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sebagai menteri Kabinet bagi menghargai peranan dan sumbangan parti itu kepada negara.

Perdana Menteri berkata, pelantikan Koh perlu dilihat sebagai sebahagian daripada proses pemulihan parti itu di samping beliau mahu supaya suara anggota parti Gerakan sampai kepada kerajaan.

"Saya nak pelantikan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon ini sebagai sebahagian daripada proses pemulihan parti gerakan.

"Jangan persoalkan, ini hak saya sebagai Perdana Menteri, dan saya membuat ini bukan (kerana) saya nak gunakan kuasa, (ini) sebab saya fikir saya pengerusi Barisan Nasional... saya kena buat keputusan untuk kepentingan Barisan Nasional.

"Saya bukan Presiden Umno saja, saya pengerusi Barisan Nasional. Saya bukan saja Perdana Menteri untuk orang Melayu, saya Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional parti Gerakan di sini, hari ini.

Najib berkata, beliau bertindak demikian selepas melihat secara keseluruhan masa depan negara dan masalah yang dihadapi oleh parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Khamis lalu, ahli Parlimen Sri Gading daripada BN, Datuk Mohamad Aziz menggesa supaya Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, meletak jawatan kerana didakwa mempamerkan prestasi lemah.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 di Dewan Rakyat, Mohamad, mempersoalkan langkah kerajaan melantik Koh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyelia Petunjuk Prestasi Utama (KPI), dengan menyatakan beliau percaya prestasi Koh sendiri kurang memuaskan.

Penyokong kerajaan itu juga menggesa Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat supaya meletakkan jawatan sebagai menteri, dan menyatakan parti beliau sendiri hilang keyakinan terhadapnya dan imej beliau juga tercemar.

Bagaimanapun, semalam, Koh berkata, beliau tidak tercalar dengan gesaan itu kerana beliau tetap komited terhadap apa yang beliau lakukan dan akan terus maju ke hadapan.

Sehubungan itu, Najib menggesa Gerakan supaya menyelesaikan segera masalah dalamannya untuk menguatkan kembali BN. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.