Polis Kedah rampas syabu, ecstacy bernilai RM80,000

ALOR SETAR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah menahan seorang lelaki dan merampas 65 paket dadah jenis syabu yang dianggar seberat 252 gram serta 55 biji pil ecstacy bernilai kira-kira RM80,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Putra di sini malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusof, berkata polis turut merampas kereta jenis Nissan Sentra, wang tunai RM44,122 dan komputer riba serta dua unit telefon bimbit dalam serbuan pada jam 9.45 malam itu.

Beliau berkata, ia adalah rampasan terbesar bagi polis Kedah tahun ini.

Katanya, lelaki berusia 28 tahun itu kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

"Polis sedang giat mencari seorang lagi suspek dipercaya rakan lelaki itu yang turut menjadi dalang dalam kegiatan mengedar tersebut di Kedah," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.

Asri berkata, lelaki itu dipercayai bergerak aktif mengedar dadah sejak pertengahan tahun lalu, terutama di pusat hiburan sekitar bandaraya Alor Setar.

Katanya, semasa serbuan dilakukan lelaki itu berada di rumah bersama bapanya. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.