CPO minta Umno, kerajaan Pulau Pinang guna Ramadan selesai ‘kemelut’

Oleh Yoges Palaniappan


GEORGETOWN, 25 Ogos — Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Wira Ayub Yaakob menasihatkan kerajaan negeri dan Umno menggunakan semangat Ramadan untuk mengetepikan perselisihan masing-masing berhubung isu khutnah yang muncul Khamis lalu.

Ayub berkata dua minggu pertama Ramadan merupakan ujian kepada setiap orang dan kesemua pihak terbabit perlu menggunakan tempoh menjelang 1 Syawal ini untuk mencapai jalan damai.

“Letakkan di tepi salam faham dan ketegangan dan uruskan (dengan baik) separuh kedua bulan Ramadan (dengan baik),” kata beliau kepada pemberita selepas menerima sumbangan kerajaan negeri sempena Aidilfitri.

Awal minggu ini polis Pulau Pinang telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat isu kejadian khatib yang didakwa menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin kepada nama Ketua Menteri Lim Guan Eng, dalam doa khutbah kedua solat Jumaat.

Ayub berkata polis negeri telah menerima dua laporan mengenai isu itu iaitu yang pertama dibuat di Balai Polis Butterworth dan satu lagi di Balai Polis Tasek Gelugor dalam daerah Seberang Perai Utara.

Beliau berkata polis menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 4 A, Akta Hasutan 1984 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sebelum ini pihak polis berharap siasatan terhadap isu tersebut akan dapat selesaikan minggu depan.

Pada majlis itu, kedua-dua pasukan polis dan angkatan tentera menerima RM10,000 daripada kerajaan negeri.

Turut hadir Datuk Mansor Othman dan Profesor P. Ramasamy masing-masing timbalan ketua menteri I dan II.

Dalam pada itu, Lim pula berkata tindakan menggunakan taktik membuli oleh pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan apa yang mereka gagal dapat adalah sesuatu yang dikesali.

“Tiada dasar yang boleh dirangka dan tiada kerajaan yang boleh wujud jika ugutan berterusan,” kata Ketua Menteri.

Katanya, undang-undang dan peraturan perlu dihormati untuk merangka dasar kerajaan yang boleh menjana kekayaan untuk diagihkan dengan efekif.

“Tiada cara efektif untuk melakukannya, tetapi setiap daripada kita mesti bersetuju bahawa kita perlu bersikap terbuka untuk menerima idea dan perubahan,” katanya.

Semalam, Zakaria Ahmad, khatib yang mencetuskan kontroversi kerana berdoa untuk Lim dalam khutbah Jumaat di beberapa masjid di Pulau Pinang, mempertahankan tindakannya itu dan berkata ia tidak salah di sisi agama.

Zakaria menyifatkan isu berdoa itu adalah kecil tetapi telah diperbesarkan oleh orang politik dan beliau berterima kasih kepada MAIPP kerana memberi bimbingan kepadanya.

Yang Dipertua MAIPP Elias Zakaria berkata jawatankuasa itu berpuas hati dengan keterangan Zakaria dan hasil perbincangan itu akan dibawa ke mesyuarat MAIPP untuk tindakan lanjut.

Ayub mengesahkan bahawa polis telah mengambil keterangan Zakaria semalam.

Isu membaca doa untuk Lim bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat itu didedahkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.