Empat Proses Analisis Barang Kes Milik Kugan

PETALING JAYA 18 Ogos - Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa terdapat empat proses yang digunakan untuk mengekstrak dan menganalisis barang kes termasuk sampel darah A. Kugan yang mati dalam tahanan polis, tahun lepas.

Pegawai Sains dari Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya, Aedrianee Reza Aini, 29, memberitahu proses itu digunakan selepas menerima 17 barang kes yang dikemukakan oleh dua pegawai penyiasat iaitu ASP Mohammad Zainal Abdullah dan Insp Mohamd Khairi Kamaruddin pada 22, 28 dan 29 Jan 2009.

Empat proses itu adalah pengekstrakan DNA, proses kuantisasi, proses amplikasi dan proses elektroforesis dengan menggunakan beberapa peralatan yang mematuhi piawaian.

Beliau menjelaskan pemeriksaan dan analisa yang dilakukan terhadap semua eksibit itu menunjukkan ada empat keputusan berdasarkan perbandingan yang dilakukan terhadap baju dan seluar yang dipakai oleh mangsa termasuk langsir di tempat kejadian.

"Pertama..profil DNA yang diperolehi daripada kesan darah pada putik kapas yang diambil dari baju dan seluar adalah berpadanan dengan yang lain daripada spesimen darah yang berlabelkan nama 'Kugan', ini menunjukkan DNA itu dikenal pasti dari sumber yang sama.

"Kemudiannya hasil menunjukkan profil DNA separa diperolehi daripada kesatan pada langsir adalah konsisten yang berasal dari sumber yang sama dengan spesimen darah yang berlabel nama Kugan," katanya.

Keputusan kedua mendapati satu profil lelaki telah ditemui yang tidak berpadanan dengan darah Kugan dan ini menujukkan DNA itu dari sumber yang lain, kata beliau yang kini bertugas di Jabatan Kimia Malaysia cawangan Johor.

Turut dikesan daripada kesatan pada langsir menunjukkan satu profil yang tidak berpadanan dengan profil DNA Kugan dan turut mendapati tiada profil DNA yang dikesan yang diambil daripada beberapa putik kapas.

"Selepas melakukan kesemua prosedur itu, saya kemudian menyediakan laporan secara rasmi pada 3 Feb 2009," katanya yang memberi jangan dalam kes kematian Kugan yang mati dalam tahanan polis selepas ditahan pada 15 Jan tahun lepas kerana disyaki terlibat dalam kes curi kereta.

Tertuduh dalam perbicaraan kes itu, Konstabel V. Navindran, 28, mengaku tidak bersalah pada 1 Okt lalu terhadap dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Kugan, 23.

Navindran yang diwakili peguam bela, Datuk P.M. Nagarajan, didakwa melakukannya di bilik soal siasat pejabat D9, di Balai Polis Taipan, USJ, Subang Jaya, pada 7 pagi, 16 Jan tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, Navindran didakwa mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi dua pertuduhan pilihan, Navindran turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera kepada Kugan pada 7 pagi dan 4 petang di tempat dan tarikh yang sama.

Ketika ditanya peguam Nagaran, Aedrianee menjelaskan ketika analisis dibuat terhadap spesimen darah Kugan, terdapat tiga profile DNA yang dijumpai.

Prosiding bicara itu yang berlangsung selama 25 hari, bermula 18 Feb lalu di hadapan Hakim Aslam Zainuddin, menutup kes itu hari ini selepas 24 saksi memberi keterangan.

Mahkamah menetapkan 22 Okt ini untuk hujahan kedua-dua pihak.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali dan Azlina Rasdi.

Bernama

No comments

Powered by Blogger.