Gara-gara pekerja asing, RON 95 masih bolos

SAYA sebagai seorang warga Malaysia yang berpendapatan sederhana ingin berkongsi mengenai perkembangan arahan kerajaan mengharamkan warga asing membeli minyak RON95.

Rakyat di negara ini, yang banyak diberikan subsidi oleh kerajaan, amat mengalu-alukan langkah pengharaman itu kerana kebanyakan warga asing yang memandu kenderaan sendiri di Malaysia dilihat dari kumpulan berpendapatan tinggi.

Bagaimanapun saya kesal melihat langkah pemantauan dan penguatkuasaan yang dijalankan oleh pihak berwajib.

Di mana 'mata' yang sepatutnya memantau perkembangan jualan minyak kepada warga asing? Ini kerana kebanyakan stesen minyak menggunakan warga asing sebagai atendan pam.

Hasil pemerhatian sendiri di stesen-stesen minyak kebelakangan ini menunjukkan atendan warga asing hanya menutup mata dan telinga apabila melihat golongan mereka membeli minyak RON95 sehinggakan pengurus stesen sendiri terpaksa keluar menegur.

Warga asing juga tidak kurang bijaknya apabila dengan nyata membeli RON95 di siang hari menggunakan pelbagai helah.

Apa yang diperhatikan mereka menggunakan pelbagai tong sebagai bekas minyak untuk membeli RON95 sehingga ada yang menggunakan botol sabun basuh bagi mengisi minyak.

Bagaimana mereka mengelak daripada ditegur atau dihalang oleh pemilik stesen? Mereka akan beramai-ramai menaiki kereta dengan nombor pendaftaran tempatan sama ada disewa atau dipinjam.

Jumlah minyak yang dibeli pula tidak kurang daripada satu tangki penuh kereta kecil dan tidak lebih satu tangki penuh kereta besar bagi mengelakkan dikesan pihak pengurusan stesen.

Di sini saya ingin mencadangkan supaya atendan pam semuanya perlu terdiri daripada warga Malaysia (tanpa mengira bangsa) dan mereka perlu diajar supaya berani menegur sesiapa sahaja yang mencurigakan ketika membeli minyak.

Ini terutama sekali bagi individu yang nyatanya adalah warga asing dan mengisi ke dalam bekas selain daripada tangki minyak.

Kuat kuasakan juga arahan supaya hanya botol atau bekas khusus sahaja yang boleh digunakan untuk membeli minyak RON95 dan diharamkan sama sekali penggunaan mana-mana botol lain.

Melihatkan jumlah minyak yang berjaya 'bolos', saya menjangkakan kerajaan kehilangan banyak minyak bersubsidi kepada warga asing yang amat 'kurang ajar' ini.

Jangan pula ingat ini hanya berlaku berhampiran sempadan. Apa yang saya lihat semuanya berlaku di Kuala Lumpur dan Selangor. Ini mungkin kerjasama warga tempatan yang diupah menggunakan kereta mereka dan membawa warga asing ke stesen minyak.

Diharapkan pihak berwajib dapat menyiasat dan memastikan perkara sebegini tidak berlaku dan tidak berterusan.

Pemantau bebas

Gombak

No comments

Powered by Blogger.