Hak keistimewaan kepada yang layak

Oleh Dr Siti Mariah Mahmud

Pagi ini (18 Ogos) satu salinan laporan polis diletakkan di atas meja saya oleh Ketua Wanita DHPP Selangor, Puan Veni. Beliau begitu marah dengan isi kandungan laporan tersebut yang dibuat oleh seorang murid sekolah berbangsa India yang berumur 16 tahun mengenai satu penghinaan dan sifat perkauman melampau guru besar sekolahnya. Sekolah ini terletak di Darul Umno (Kulai, Johor) iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra. Guru besarnya dikatakan telah mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya keluar dari seorang terpelajar bergelar pendidik dan seorang kakitangan kerajaan (yang sepatutnya mendokong 1Malaysia PM).

Ucapan guru besar semasa Pelancaran Bulan Kemedekaan di sekolah bermula dengan teguran kepada murid-murid mengenai disiplin telah terkeluar dari tujuan asalnya apabila mengatakan sekiranya murid tidak berpuas hati, yang Cina boleh balik ke Cina ataupun bersekolah di Sekolah Cina, pelajar Cina tidak diperlukan dan yang India pula dihina mengatakan mereka yang memakai 'tali sembahyang' di leher dan di pergelangan tangan seperti anjing. Orang India dan Cina dikatakan menumpang dalam konsep 1Malaysia. Analogi yang dipakainya ialah seperti seorang yang menumpang kereta orang lain tiada hak di atas kereta yang ditumpangnya. Macam-macam lagi sindiran kepada murid India dan Cina yang dilaporkan oleh murid tersebut.

Bila habis saya membaca laporan polis tersebut, saya faham kalau laporan polis ini tersebar, ia akan membangkitkan kemarahan kaum India dan Cina. Jangan pula lepas ini polis menangkap orang yang membuat laporan dan menyebar laporan polis ini tapi melepaskan pula guru besar yang celupar dan biadap ini.

Ini bukan kali pertama ekstremis atau pelampau Melayu mengeluarkan kata-kata yang menimbulkan kemarahan kaum lain. Sebelum ini Datuk Hamidah Adun dari Perak, Ahmad Ismail di Pulau Pinang dan Nasir Safar orang kuat PM Najib di Jabatan Perdana Menteri. Mereka semua terlepas dari tindakan undang-undang.

Perkasa sudah memang kita tahu mendapat suaka politik dan kebal daripada sebarang tindakan undang-undang. Mereka semua orang Umno! Kini senarai ini bertambah panjang. Mungkin guru besar ini juga ahli atau penyokong kuat Umno/BN. Sudah pasti dia bukan ahli PAS! Kalau ahli PAS, mungkin beliau akan kehilangan keahliannya.

Rakyat mahu melihat ketegasan pihak polis dan Kementerian Pelajaran mengambil tindakan terhadap beliau supaya perkara seperti ini tidak berulang lagi di sekolah-sekolah. Jangan setakat tukar sekolah atau dipencenkan awal. Guru sebegini harus dipecat dan juga didakwa di mahkamah. Kalau setakat menuntut maaf dan kemudian melupakan sahaja, percayalah ia akan berulang lagi. Rakyat sudah melihat kes-kes sebelumnya maka tidak hairan perkara ini berulang lagi. Kumpulan ekstremis Melayu akan mengatakan kenapa saya tidak mendesak tindakan yang sama kepada orang berbangsa Cina seperti Tony Pua yang mencadangkan diskaun pembelian harta mewah ditarik balik atau Kongres Perniagaan Cina yang meminta PM memansuhkan peruntukan ekuiti 30% kaum Bumiputera.Mungkin mereka merasakan ini menyinggung perasaan Melayu. Kenapa saya tidak rasa begitu?

Bagi saya apa yang dikatakan baru cadangan. Mereka tidak berdaya untuk mengubahnya sebab kuasanya bukan ditangan mereka tetapi di tangan PM atau menteri-menteri lain. Kenapa panik? Sebelum ini pun banyak desakan dibuat oleh pelbagai pihak mengenai pelbagai perkara seperti desakan memansuhkan ISA, tidak pula diikuti oleh kerajaan.

Berlainan dengan penghinaan secara langsung yang membabitkan bangsa dan agama. Kalau orang Cina atau India menghina agama atau bangsa saya tindakan yang perlu diambil juga. Tiada 'double standard' di sini. Malaysia benar-benar memerlukan 'akta anti-perkauman' untuk memastikan keharmonian dan kesejahteraan rakyat tidak tergugat oleh kumpulan pelampau bangsa.

Nampaknya orang Melayu begitu keliru dengan konsep 1Malaysia. Tidak menghairankan kerana Tun Mahathir pun tidak faham konsep ini. Rata-rata rakyat yang saya temui memahami 1Malaysia sebagai rakyat dilayan dan menikmati hak dan kekayaan Malaysia sama rata. Tiada kefahaman lain. Umno BN telah gagal menyatukan rakyat Malaysia setelah lebih 50 tahun memerintah.

Selama ini mereka berjaya melaksanakan konsep pemerintah penjajah melalui amalan pecah dan perintah. Ianya berjaya mungkin 4 dekad selepas merdeka. Tetapi rakyat Malaysia terutamanya yang dilahirkan dan dibesarkan dalam satu masyarakat majmuk tidak mungkin menelan lojik 1Malaysia yang menekankan 'hak istimewa' bumiputra tetapi mengatakan rakyat Malaysia dilayan sama rata. Slogannya bercanggah dengan falsafah dan logik. Bagaimana hendak melaksanakannya kerana ia begitu kompleks dan sukar difahami. Laksana ibu bapa yang mengatakan mereka menyayangi semua anak-anak sama rata tetapi di dalam membesarkan anak-anak melakukan perkara bercanggah misalnya bila membeli beg sekolah ada anak yang dapat membeli beg mahal dan anak yang lain beg murah. Pasti ibu bapa dilihat sebagai tidak adil dan pilih kasih. Anak-anak akan dapat memahami jika ayah mengeluarkan wang lebih untuk tuisyen adik atau abang yang yang lemah dalam bidang pelajaran pada masa tertentu dan di lain masa pula kakak diberi wang saku lebih jika membantu ibu di dapur. Jadi bukan anak tertentu tetapi keadaan yang menentukan bila keistimewaan atau perhatian diberi ia itu mengikut keperluan.

Sebelum kemerdekaan, kaum India dan Cina yang tinggal di Malaysia tidak mempunyai kerakyatan. Tidak di negara ini tempat mereka bernaung mahu pun di negara asal mereka. They were 'stateless'. Mereka sanggup menerima apa syarat sekali pun untuk menjamin masa depan anak cucu mereka.

Maka apabila syarat untuk mencapai kemerdekaan ialah memberi status 'jus soli' kepada kaum pendatang, pemimpin Cina dan India menerima pelawaan itu walaupun Melayu diberi hak istimewa (fasal 153). Sesungguhnya pemimpin Cina dan India mempunyai pandangan jauh kerana mereka tahu keadaan akan berubah.

Pemimpin Melayu Umno, kerana mahu mudah mendapat kemerdekaan (tanpa menitikkan setitis darah pun) mungkin tidak terlintas dibenak hati mereka yang zaman akan berubah dan generasi akan datang tidak boleh menerima perjanjian datuk nenek mereka. Pejuang kemerdekaan nasionalis dan Islamis lain pada ketika itu juga turut menuntut kemerdekaan. Namun British yang bertanggung jawab membawa orang India dan juga Cina enggan melayan kumpulan Nasionalis Islam tetapi lebih selesa dengan Umno yang lebih memperjuangkan kuasa elit Melayu.

50 tahun berlalu kita mengharapkan anak-anak yang dilahirkan dari keturunan Cina dan India sekarang boleh menerima perjanjian yang selalu disebut sebagai kontrak sosial. Mereka bukan di dalam zaman datuk nenek mereka yang "stateless". Mereka rakyat Malaysia (Umno/Perikatan yang beri). Mereka tidak kenal tanah air lain selain daripada Malaysia. Mereka dilahirkan di bumi Malaysia dan mereka mungkin generasi ketiga dan keempat yang tidak pernah kenal datuk nenek mereka. Adakah kita mengharapkan mereka memegang janji setengah abad dahulu sedangkan bukan mereka yang 'menandatangani' perjanjian itu?

Memang ianya sejarah. Kita menghormati sejarah namun anak-anak kita hidup dalam zaman sekarang bukan 1950an.Bangsa lain sudah berubah cara pemikiran mereka tapi bangsa Melayu masih lagi tidak mahu ke hadapan kerana menagih janji lama. Kita masih lagi bermimpi dengan cerita lapuk dan menanam harapan palsu kepada orang Melayu yang keistimewaan Melayu dilindungi oleh perlembagaan. Kita tidak berlaku adil kepada bangsa kita kerana menggunakan isu bangsa demi untuk mengekalkan kuasa. Kuasa di tangan orang Melayu selama 50 tahun lebih tetapi dalam jangka masa itu Umno telah melepaskan Singapura kerana takut saingan dengan PPP yang diterajui Lee Kuan Yew. Lee Kuan Yew tidak minta kemerdekaan Singapura tapi Umno yang memberinya dengan percuma. Begitulah sejarahnya.

Rakyat Malaysia kini sudah menerima hakikat negara berbilang kaum dan agama. Bagi umat Islam kita tidak dapat menolak takdir. Walaupun pada awalnya pemimpin PAS mungkin tidak bersetuju sepenuhnya dengan syarat kemerdekaan, tetapi selepas mencapai kemerdekaan dapat menerima realiti kemajmukan Malaysia walaupun sering dituduh sebagai ekstremis agama. Tiada salahnya keistimewaan diberikan kepada kaum tertentu jika mereka memerlukan namun usahlah istilah kaum yang menjadi ukuran.

Kalau kita bubarkan "hak istimewa" Melayu pun sekarang, tetapi mengubah polisi kepada yang layak dan yang memerlukan mengikut keadaan (dengan kriteria yang objektif), saya percaya orang Melayu masih menjadi kaum yang terbanyak mendapat perhatian (bantuan) kerajaan dan pada masa yang sama kaum lain dalam kategori yang sama juga akan mendapat pembelaan. Maknanya bantuan serta keistimewaan tidak lagi bergantung kepada kaum, agama atau jantina tetapi siapa yang memerlukannya dan layak.

Dr Siti Mariah Mahmud,

AJK PAS Pusat/Ahli Parlimen Kota Raja.

(Tulisan di atas adalah pendapat penulis semata-mata dan tidak mewakili parti secara rasmi.)

No comments

Powered by Blogger.