India beri BlackBerry masa hingga 31 Ogos

NEW DELHI, 11 Ogos — Research In Motion diberi tempoh sehingga 31 Ogos ini untuk mengatasi isu keselamatan atau berhadapan dengan tindakan pengharaman perkhidmatan emel dan mesej segera peranti tersebut.

Keputusan itu diumumkan oleh kerajaan India hari ini.

Kerajaan India juga berkata pengendali telefon mudah alih juga perlu menutup perkhidmatan itu jika Research In Motion gagal memenuhi permintaan mereka.

Ia perkembangan terbaru selepas Arab Saudi dilaporkan telah memutuskan untuk menggugurkan rancangan melarang komponen mesej segera telefon BlackBerry ekoran persetujuan dicapai oleh kerajaan itu dan pengeluarnya Research In Motion akhir minggu lalu.

Persetujuan itu melibatkan langkah menempatkan server BlackBerry di Arab Saudi - membolehkan kerajaan memantau mesej para pengguna, sekali gus menghilangkan kebimbangan pihak berkuasa bahawa perkhidmatan itu akan digunakan untuk tujuan-tujuan ‘jenayah’.

Beberapa negara lain juga mempertimbangkan kemungkinan itu.

Kerajaan UAE dan Arab Saudi sebelum ini telah mengumumkan pendirian mereka mahu mengharamkan fungsi ‘Messenger’, e-mel dan web atas sebab keselamatan yang berpunca dari kebimbangan ia mungkin digunakan untuk aktiviti haram.

Research in Motion menekankan bahawa perkhidmatan BlackBerry Messenger tidak akan menjejaskan keselamatan.

Dalam kenyataannya, Research in Motion mengakui ia membincangkan isu keselamatan dengan kerajaan tertentu, namun syarat perundangan kerajaan serta keperluan keselamatan dan privasi syarikat dan pengguna turut dipatuhi.

No comments

Powered by Blogger.