Insiden baling najis: Memo untuk Kedutaan Indonesia

Oleh G Vinod dan Fazy Sahir

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno Malaysia memprotes tindakan aktivis Indonesia dalam insiden ‘baling najis’ ke atas Kedutaan Malaysia di Jakarta dan bendera Malaysia Jalur Gemilang yang disifatkan sebagai kurang ajar terutama perkara itu berlaku di bulan Ramadhan.

Maka kira-kira 50 ahli Pemuda Umno memberi reaksi balas dengan menghantar memorandum di Kedutaan Indonesia petang tadi sebagai membantah kebiadapan aktivis-aktivis tersebut.

Memorandum itu menuntut agar kerajaan Indonesia mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu mahupun kumpulan yang terlibat daripada mengeruhkan perselisihan faham antara dua negara.

Exco Pemuda Datuk Ahmad Zaki Zahid menyifatkan keadaan itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan kedua-dua negara merupakan serumpun.

Pihak Pemuda juga berharap agar Indonesia dapat bersikap telus dan efektif dalam meredakan bahang perselisihan daripada terus membiarkan pihak tersebut menghina Malaysia.

"Insiden ini berlaku di bulan suci Ramadhan, tidak dapat membayangkan kita berasal daripada rumpun yang sama, serta tidak melambangkan bahawa kita sebagai negara bangsa yang agung dan berdaulat, maka tidak perlu bagi mereka bersikap biadap ke atas kita.

"Pun begitu, kami percaya tidak semua rakyat Indonesia setuju dan mendokong kumpulan aktivis ini. Maka kami berharap kerajaan Indonesia akan mengambil tindakan terhadap dalang di sebalik insiden ini" katanya.

Gesaan turut dibuat Pemuda agar kerajaan Indonesia berhenti mensensasikan sebarang isu yang boleh mengeruhkan hubungan baik kedua-dua negara.

Malah mereka turut menggesa agar perbincangan dua hala melalui forum atau dialog terbuka dilakukan bagi memastikan hubungan baik kekal terpelihara.

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin turut mengutuk keras tindakan kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) dalam tunjuk perasaan di Kedutaan Malaysia di Jakarta.

Beliau turut menyeru pihak media Indonesia yang dipercayai turut terlibat dalam mengapikan-apikan hubungan baik antara kedua-dua negara supaya melaporkan berita dengan lebih berhemah bagi menjaga keharmonian hubungan dua hala.

No comments

Powered by Blogger.