Kerajaan mungkin kuat kuasa penapis kandungan Internet?

KUALA LUMPUR, 16 Ogos — Pentadbiran Najib telah memulakan kajian untuk meletakkan penapis Internet bagi menghalang laman-laman yang tidak diingini sejak dua minggu lalu meskipun kerajaan sebelum ini pernah membatalkan usaha yang sedemikian setahun lalu ekoran bantahan orang ramai.

The Malaysian Insider difahamkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah meminta firma KPMG agar menjalankan “Kajian Mengenai Penggunaan Internet Dengan Positif dan Selamat” awal bulan ini untuk menilai antara lain pelaksanaan penapis Internet dan kesan pelbagai kaedah kepada pengguna Internet Malaysia dan ekonomi Malaysia.

Pengkritik berpendapat bahawa penapis Internet bertentangan dengan undang-undang jaminan Koridor Raya Multimedia (MSC) selain dilihat tidak efektif.

“Ia satu langkah membazir wang pembayar cukai. Bagi setiap kaedah untuk mengawal Internet, akan ada cara lain untuk akses,” kata Dhillon Andrew Kannabhiran, ketua pegawai eksekutif firma keselamatan Internet Hack in the Box kepada The Malaysian Insider dalam komennya tahun lalu.

Pada 6 Ogos 2009, The Malaysian Insider menyiarkan berita bahawa Menteri Penerangan, Komunikasi dan Multimedia Datu Seri Utama Dr Rais Yatim sedang mengkaji kemungkinan meletakkan penapis untuk menghalang kandungan yang tidak sesuai menerusi laman web, sebagaimana dilakukan oleh China dengan menghasilkan perisian khas “Green Dam”.

Bagaimanapun Rais telah menolak laporan seumpama itu bahawa kerajaan mahu mereka bentuk perisian untuk menyekat sesetengah laman web di Internet yang telah digunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan bahan hasutan dan pembohongan.

Bagaimanapun, beliau berkata walaupun beberapa kajian telah dijalankan mengenai perkara ini, kerajaan tidak mempunyai aplikasi yang tersirat setakat ini.

Katanya, Malaysia mengamalkan kedaulatan undang-undang dan dengan itu mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara ini perlu bertanggungjawab.

Laporan itu turut dinafikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kemudian.

Akhir bulan lalu, Rais memberitahu bahawa kementeriannya akan menjadikan pandangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung keperluan menapis bahan pornografi di internet sebagai “perisai baru” untuk menangani gejala negatif itu yang semakin berleluasa.

Kata Rais, kementerian akan mencari kaedah terbaik bagi menangani masalah itu tanpa disalahertikan oleh sebarang pihak yang kononnya mengagungkan kebebasan maklumat tanpa batasan di Internet.

“Saya amat mengalu-alukan pandangan Tun (Dr Mahathir) kerana selama ini kami keseorangan dalam hal menyajikan maklumat di internet. Lebih ramai pemimpin menyuarakan hal ini, lebih mudah bagi kami. “Dengan menggunakan tuntutan undang-undang (bagi menangani bahan pornografi), ada sahaja pihak yang cuba menyalahertikan. Sebenarnya, kita ada Seksyen 265, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menangani hal ini,” katanya.

Kajian kali ini bermula dengan penerangan kepada pegawai-pegawai dari lapan penyedia perkhidmatan Internet (ISP) pada 8 Ogos lalu.

MCMC memberitahu kesemua firma ISP bahawa ia akan mengadakan lawatan bersama KPMG untuk mendapatkan maklumat.

Difahamkan lawatan itu dijadualkan antara 9 dan 12 Ogos lalu tetapi belum lengkap lagi.

Dalam suratnya bertarikh 2 Ogos, yang dilabel sebagai “rahsia”, MCMC juga menyenaraikan 23 soalan bagi ISP untuk menjawab.

Salah satu soalan yang dikemukakan menyentuh tentang jenis atau kategoti kandungan yang ditapis, dengan pilihan jawapan yang disenaraikan termasuklah edar dadah, pornografi dan penyeludupan manusia.

No comments

Powered by Blogger.