Mahathir dan kebebasan akhbar

Oleh Chang Teck Peng

Meskipun sudah tujuh tahun Perdana Menteri keempat, Mahathir Mohamad yang terkenal dengan pemerintahan autoritariannya berundur dari jawatan rasminya, namun beliau tidak pernah berundur dari gelanggang rencana awam. Beliau tetap akan menarik perhatian (biarpun tahap mungkin berbeza) setiap kali beliau mengeluarkan kenyataan.

20 tahun pengalaman saya dalam bidang akademik dan kerjaya media membuatkan diri saya untuk menumpu perhatian terhadap kenyataan Mahathir (gambar kiri) berhubung media, kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara.

Saya pernah memberi penilaian sedemikian terhadap Mahathir dalam buku saya yang diterbitkan pada awal tahun 2004, "Jikapun Mahathir bukan PM yang paling fasih tentang cara urus media, namun pengetahuan dan penguasaannya terhadap ciri-ciri dan fungsi media terserlah sepanjang zaman pemerintahannya. Malah, antara anggota kabinetnya, termasuk Anwar Ibrahim, gagal menandinginya."

Saya tetap menganggap bahawa pemerhatian ini masih relevan sehingga hari ini. Pengamatan dan kritikan Mahathir terhadap media dan bidang media kebanyakannya kena pada tempatnya, termasuk bagaimana pengiklanan dan kelarisan pengedaran mempengaruhi editorial, bagaimana pula kapitalis menyekat kebebasan media melalui pemilikan media.

Baru-baru ini, ketika menyampaikan ucap tamanya dalam Persidangan Blogger Asia dan Media Sosial 2010 pada 28 Julai, Mahathir berkata, kekurangan kebebasan dalam media tradisonal bukan disebabkan permit penerbitan semata-mata, tetapi penapisan sendiri yang keterlaluan, malah banyak berita tidak disiarkan untuk "memberi laluan" kepada iklan.

Kenyataan Mahathir ini bertujuan untuk mempertahankan dirinya dalam isu sekatan media ketika zaman pemerintahannya, malah beliau cuba meremehkan impak dan peranan jentera negara untuk menimbulkan ketakutan dalam sekatan media. Namun demikian, bukankah kawalan kapitalis dan pengiklan merupakan salah satu kuasa yang berpengaruh - selain daripada parti politik dan negara - untuk mendominasi media?

Kefasihan Mahathir terhadap cara urus media merupakan kemalangan yang menimpa bidang media di negara kita. Lantaran daripada kefasihannya terhadap media, sikap Mahathir terhadap media boleh disifatkan sebagai "cinta berbaur benci". Untuk memperalatkan media supaya berkhidmat kepada kepentingan dirinya, Mahathir menjadikan fenomena media yang dikritiknya itu sebagai taktik beliau untuk mengawal media. Antara taktiknya, kuasa pengawalan dan pemilikan yang amat berkesan, dan "projek" ini telah hampir disempurnakan pada tahun 1990-an.

Janji untuk memikat orang Amerika

Untuk ramai orang, dasar yang digubal dalam zaman pemerintahan Mahathir yang dilihat agak "terbuka" mungkin merujuk kepada janjinya bahawa "tiada penapisan internet" - ketika mempromosikan Koridor Raya Multimedia (MSC) di Amerika Syarikat pada tahun 1997. Namun, janji ini semestinya bukan dari hatinya yang ikhlas. Dalam artikel di blognya pada 19 Julai 2010, Mahathir mencadangkan agar kandungan lucah disekat daripada tersebar di ruang internet.

Ketika menyentuh "janji untuk tidak menapis internet" (INTERNET GUARANTEE),beliau berkata, "biarpun kami berniat untuk berbuat demikian, keupayaan kami tidak kesampaian. Kami tidak menguasai teknologi untuk berbuat demikian" - ayatnya disarat penuh dengan "tidak kerelaan".

Seandainya diimbas latar belakang "janjinya untuk tidak menapis", kita akan mendapati bahawa janji ini bukanlah niat asalnya. MSC sebermulanya berorientasikan keuntungan ekonomi. Bertungkus-lumus Mahathir berulang-alik di pentas antarabangsa untuk mempromosikan projek yang menelan sebanyak RM50 bilion, dengan keluasan yang lebih besar daripada Singapura ini. Ketika memberi ucapan pada 14 Januari 1997, teks ucapannya mengulangi sekurang-kurangnya empat kali istilah "mutual enrichment / mutually enrich" (kekayaan bersama).

Semasa saya membentangkan kertas kerja dalam sidang seminar di Taiwan pada awal Julai 2010, saya mendapati satu penemuan yang agak menarik. Ketika Mahathir merasmikan pelancaran MSC pada 1 Ogos 1996 di Kuala Lumpur, walaupun teks ucapannya telah mengemukakan Bill of Guarantees kepada syarikat yang berniat untuk melabur di MSC, tetapi Bill of Guarantees ini tidak mengandungi perkara "Malaysia will ensure no censorship of the Internet" pada ketika itu. Janji berbunyi "Malaysia will ensure no censorship of the Internet" ini hanya ditambah apabila Mahathir berucap di depan orang Amerika di Amerika Syarikat pada tahun 1997.

Jelas, "janji tiada penapisan" ini hanya ditaburkan untuk memikat kapitalis Barat yang dituduh Mahathir sebagai "tidak berniat baik" selama ini. Tujuannya hanya satu - menyasarkan dollar US dalam poket mereka untuk digunakan agar membina satu lagi tugunya yang bernama - MSC. Malah, ahli akademik tertentu seperti Graham Brown, Jason P Abbott, Gary Rodan menganggap keputusan Mahathir untuk "tidak menapis" ini bertujuan untuk bersaing dengan Singapura, yang mana pada ketika itu dikritik masyarakat antarabangsa kerana penapisan internetnya.

Politikus yang berpusatkan diri

Mahathir adalah Perdana Menteri Malaysia yang paling banyak memberi ucapan dan menulis artikel berkenaan dengan kebebasan media. Saya menghabiskan masa yang banyak untuk meneliti teks ini semasa menulis tesis ijazah saujana saya. Apa yang memahat ingatan saya adalah sikap beliau yang memandang rendah kepada wartawan dan meremehkan kebebasan akhbar.

Dalam artikel pada 19 Julai 2010, walaupun Mahathir sekadar menyebut kawalan terhadap kandungan lucah, tetapi beliau masih memperlihatkan "ketidak-relaan"-nya terhadap kebebasan akhbar dan internet yang bebas - dari apa yang tersirat di sebalik ayatnya.

"Kebebasan akhbar dilihat sebagai kandungan utama dalam amalan Demokrasi Barat. Andaiannya sebegitu, dengan kebebasan akhbar, kebenaran akan menjelma. Namun, kebebasan juga berkenaan dengan pembohongan, agenda jahat, menfitnah individu, memutar-belitkan kebenaran, mendesak orang ke arah kematian, dan dosa yang bermacam-macam. Internet kini bukan sahaja memperuntukkan keupayaan kepada wartawan, tetapi kepada sesiapa untuk menyatakan kebenaran, membohong, memutar-belitkan kebenaran, dan segala yang baik dan yang jahat."

Dengan kata lain, sama ada "semasa" mahupun "selepas" Mahathir menyandang jawatan PM, pendirian dan sikap beliau terhadap kebebasan akhbar dan bersuara tiada banyak berbeza, seperti pandangannya yang rasis. Jikapun ada "perubahan", ia hanyalah taktik untuk kepentingan politiknya.

Ia menjelaskan bagaimana Mahathir tidak begitu terserlah "corak perkauman"-nya, pada tahun 1990-an, untuk mengukuhkan kuasanya melalui prestasi ekonomi. Namun, selepas tujuh tahun berundur dari jawatannya (terutamanya setahun dua ini), Mahathir kerap mengeluarkan kenyataan "nasionalismenya" untuk memikat orang Melayu - ia sekadar "pemulihan" wajah Mahathir yang ketika muda.

Dari segi kebebasan media dan pengawalan media, Mahathir menyerang Abdullah Ahmad Badawi habis-habisan sejak tahun 2006, bahawa tiada kebebasan media di bawah pemerintahan Abdullah, malah pengawalan lebih ketat berbanding dengan zaman pemerintahan dirinya - Mahathir seolah-olahnya mangsa dan pejuang kebebasan media. Keadaan ini berlaku kerana Mahathir gagal menggunakan media sebagai perkakasnya sewenang-wenangnya untuk mengaut kepentingan politik beliau.

Sebaliknya, Mahathir tidak pernah menganggap tindakannya semasa pemerintahannya (menindas kebebasan media atau kehakiman) adalah salah. Pada hakikatnya, beliau sebenarnya anti-kebebasan akhbar dan anti-kebebasan bersuara. Apabila Mahathir merungut bahawa tiada kebebasan akhbar dan bersuara di bawah zaman pemerintahan penggantinya, ia hanya memperlihatkan bagaimana jeliknya seorang politikus yang sentiasa berpusatkan dirinya!

*Chang Teck Peng ialah Ketua Pengarang MerdekaReview. Disedut, diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari artikel asal.

No comments

Powered by Blogger.