Mustaffa: Arjunan ahli PKR sah, wajar kerjasama polis siasat Saravanan

Oleh G Manimaran


KUALA LUMPUR, 20 Ogos — Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub mengesahkan M.S Arjunan masih merupakan ahli parti itu sambil meminta beliau bekerjasama dengan polis berhubung laporan berkaitan aktiviti tidak bermoral yang dibuat ke atas Datuk M. Saravanan dari MIC.

“Arjunan pernah digantung keahlian tetapi hukuman itu sudah berakhir... jadi dia masih ahli parti (PKR),” kata Mustaffa yang juga Pengerusi PKR Perak kepada The Malaysian Insider.

“Dia (Arjunan) patut memberi kerjasama kepada polis berhubung aduan yang dibuatnya supaya siasatan dapat dijalankan, tetapi pada masa yang sama saya merasakan pihak polis wajar menyiasat dakwaan itu dengan menyeluruh, dengan sewajarnya,” kata beliau lagi. Mustaffa Kamil mengulas dakwaan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Kuala Kangsar Adam Haris Abdullah bahawa Arjunan bukan lagi merupakan ahli PKR.

Ekoran dakwaan itu, Adam Haris membuat laporan polis di Ipoh pagi semalam.

Adam Haris mendakwa oleh kerana Arjunan bukan lagi merupakan ahli PKR tidak wajar bagi beliau menggunakan nama parti itu apabila membuat laporan polis terhadap Saravanan yang juga Naib Presiden MIC dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Katanya, Arjunan tidak layak menggunakan nama PKR apabila membuat laporan polis ke atas Saravanan kerana dia bukan lagi ahli parti dan tidak memegang apa-apa jawatan di bahagian PKR Ipoh Barat sekarang.

Turut mengiringi beliau ialah bekas Ketua PKR Ipoh Barat Fauzi Muda. Fauzi membubarkan bahagiannya tiga bulan lalu dan keluar PKR.

Fauzi pula berkata, Arjunan telah dipecat sebagai setiausaha bahagian itu selepas pilihan raya umum 2008.

Adam Haris juga mendakwa Arjunan yang pernah dipecat sebagai Setiausaha PKR Ipoh Barat selepas Mac 2008 mempunyai 39 aduan polis sebelum ini.

Aduan polis yang dibuat ke atasnya semalam adalah yang ke-40, kata Adam Haris.

Susulan berita itu, The Malaysian Insider dimaklumkan Adam Haris juga bukan lagi merupakan ahli PKR.

Bagaimanapun Mustaffa Kamil menjelaskan, Adam Haris masih merupakan ahli PKR dan memegang jawatan nombor dua AMK Kuala Kangsar.

“Berdasarkan penelitian saya, kedua-dua Arjunan dan Adam Haris masih ahli PKR,” katanya.

Ketika ditanya laporan polis Adam Haris ke atas Arjunan, Mustaffa Kamil berkata, atas semangat parti Adam Haris tidak wajar membuat laporan polis ke atas rakan dari parti yang sama.

“Bagaimanapun saya akan mendapatkan maklumat lanjut mengapa Adam Haris berbuat demikian... sekarang kita kurang jelas mengapa beliau membuat laporan polis.

“Kita akan berhubung dengan Adam Haris untuk mendapatkan penjelasan dalam isu ini,” katanya lagi.

Sabtu lalu Arjunan telah membuat laporan polis yang mendakwa Saravanan, yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejateraan Bandar terlibat dalam kegiatan pelacuran dan pengedaran dadah.

Saravanan menafikan dakwaan itu yang dianggapnya serangan untuk membunuh karier politiknya.

Pada sidang media tiga hari lalu, Arjunan menyatakan mempunyai bukti kukuh, namun ia hanya akan diberikan kepada peguamnya dan mendedahkannya setelah kes tersebut dibawa ke mahkamah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan pula berkata pihaknya kesal dengan tindakan Arjunan yang enggan memberi kerjasama dan menyembunyikan bukti berkenaan dakwaan seorang timbalan menteri terlibat dalam kegiatan tidak bermoral.

Pada 8 Mac 2008, Arjunan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Chenderiang dan tewas di tangan Mah Hang Soon dari BN-MCA.

No comments

Powered by Blogger.