Nik Nazmi Dilantik Pengarah Komunikasi KEADILAN

Oleh Rusnizam Mahat

Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dilantik sebagai Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat yang baru, bermula pada 16 Ogos 2010.

Perlantikan itu dilakukan menerusi surat yang ditandatangani Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Perlantikan Nik Nazmi ke jawatan itu juga bermakna beliau akan mengetuai Biro Komunikasi KEADILAN selain turut menganggotai Biro Politik dan Biro Pengurusan Keadilan.

Ketika dihubungi Suara Keadilan, Nik Nazmi mengucapkan setinggi penghargaan kepada pimpinan parti di atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau bagi memegang tanggungjawab dan amanah tersebut.

"Saya menerima perlantikan tersebut dengan penuh hormat, dan akan berjumpa dengan pimpinan untuk mendapatkan maklum balas dan pandangan mereka dan harapan saya ialah dapat memegang tanggungjawab dengan sepenuhnya," ujarnya.

Ditanya perancangan beliau selepas ini, Nik Nazmi berkata, "saya akan bertemu pimpinan untuk mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai perancangan selepas ini dan fokus kita tentunya pada pemilihan parti yang akan datang dan apa yang penting pada masa ini ialah kita tonjolkan kekuatan parti".

Mengulas mengenai jawatan tersebut yang dikatakan sebagai satu 'kerusi panas' sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi, Nik Nazmi berkata ia adalah suatu perkara yang biasa dalam politik.

"Spekulasi biasa berlaku dalam politik,"kata penulis Mendepani Zaman: Melayu untuk Abad ke-21 ini.

Nik Nazmi, 28 merupakan bekas Setiausaha Sulit kepada Ketua Umum kEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum diganti oleh Faekah Husin.

Beliau yang merupakan lulusan undang-undang dari King's College University Of London, turut memegang jawatan Exco Angkatan Muda KEADILAN Malaysia serta aktif di Cabang Kelana Jaya.

No comments

Powered by Blogger.