Parti Kalah Ada Jawatan Politik Pun Tak Guna...

Oleh B. ANBUMANI (mediagemilang@yahoo.com)

SUDAH bersediakah MIC untuk berdepan dengan cabaran pilihan raya umum yang ke-13? Itulah antara persoalan “misteri” ibarat cepu emas yang kini semakin kuat mula berlegar di fikiran dan minda ahli-ahli parti dan masyarakat umum. Ini bukannya masa untuk mendabik dada tetapi detik untuk mengejar kebenaran dan hakikat yang sebenarnya demi masa depan masyarakat India di negara ini.

Memang senang untuk “bersilat kata” ataupun berlagak seperti jaguh politik di media massa tetapi perlu diingat “kaca mata rakyat” tidak sama seperti dulu lagi. MIC tidak boleh lagi menunjukkan kebanggaan dan keberanian mereka atas dasar satu-satunya parti yang mewakili suara masyarakat India di negara ini lagi selepas tsunami pilihan raya umum ke-12 menyaksikan parti tersebut tewas enam kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Percaturan politik tidak lagi seperti dulu. Rakyat termasuk masyarakat India bukan sahaja sudah mula berani bersuara tetapi mereka juga mahu melihat faktor pelaksanaan dan perlaksanaan, keberkesanan dan keadilan di kalangan ahli-ahli politik dalam proses memperkasakan lagi sistem penyampaian di peringkat akar umbi.

Apa yang menyedih dan membimbangkan ialah peningkatan jumlah parti politik yang kononnya mahu membela dan memperjuangkan nasib masyarakat India Malaysia sudah menjadi satu “ trend” baru untuk berpolitik sedangkan masalah dalaman yang melanda mereka sudah terpampang di merata tempat.

Ada pihak pula suka sangat bermain politik dengan “angka keahlian” seoalah-olah mahu menjuarai masyarakat India sedangkan banyak lagi kelemahan menguasai diri mereka sendiri sehingga rakyat sudah meluat dan menyampah. Justeru itulah, MIC sebagai sebuah parti yang sudah lama berada dalam komponen BN perlu menunjukkan kemampuannya sendiri menangani permasalahan masyarakat India selaras dengan gagasan rakyat didahulukan dan pencapaian diuatamakan.

Ini bukannya masa untuk bercerita pasal relevan ataupun tidak tetapi detik-detik cemas untuk menentukan hala tuju parti berada di landasan yang betul sepertimana yang diharapkan, dinginkan dan didahagakan oleh masyarakat menjelang PRU ke 13 nanti.

Ahli-ahlinya harus sedar bahawa masa depan parti MIC yang ditubuhkan pada 1946 perlu diselamatkan pada PRU ke-13 nanti. Ini bukanya masa untuk berpolitik ataupun berkempen untuk mengejar jawatan parti sama ada di peringkat bahagian, negeri ataupun nasional.

Di satu sudut lain pula, janganlah terlalu mahu “menjaga“ jawatan masing-masing dan berkempen untuk diri sendiri sahaja. Mereka perlu membawa azam dan tekad “kekitaan” dan bukannya “keakuan” dalam memperkatakan tentang perjuangan. Mereka perlu ingat jawatan parti hanyalah satu platform untuk berkhidmat tetapi sekiranya parti tewas pada PRU ke 13 nanti, bukan sahaja masa depan parti akan ranap malah ada jawatan pun tak guna dan tak bawa apa-apa faedah.

Realitinya, MIC kini berada di satu tahap yang “kritikal” untuk merealisasikan harapan , impian dan bisikan hati masyarakat India Malaysia secara keseluruhannya bukan sekadar apa yang disuarakan oleh ahli-ahli parti sahaja.

Sudah tentulah rakyat mengharapkan pendekatan 3P iaitu “perkhidmatan, pencapaian dan prestasi” yang lebih baik dari MIC dalam tempoh terdekat ini jika dibandingkan dengan parti-parti politik yang lain.

Perlu diingat, MIC sebagai sebuah parti politik kaum India yang terbesar di negara ini perlu “turun padang” lebih kerap lagi sebagai satu pasukan yang kuat dan bukannya atas nama pemimpin parti. Lupakanlah seketika politik berpuak-puak dalam parti sekiranya mereka betul-betul ikhlas dan jujur untuk memperjuangkan nasib masyarakat India Malaysia.

No comments

Powered by Blogger.