Pemuda Umno juga mahu gotong-royong pulih surau disimbah cat

KUALA LUMPUR, 24 Ogos — Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin juga menawarkan gotong-royong bagi membaik pulih Surau Taman Pulai Impian di Seremban yang disimbah dengan cat merah, semalam.

Beliau mengarahkan Pemuda Umno Negeri Sembilan agar mengadakan gotong-royong dalam masa terdekat.

Semalam Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shaharin berkata pihaknya akan mengadakan kempen gotong-royong bagi mengatasi kerosakan surau itu.

Beliau mahu bertemu jawatankuasa surau hari ini bagi menyampaikan kesediaan SAMM memperbaiki premis itu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Khairy (gambar) berkata, Pemuda Umno pusat begitu kesal dan mengecam sekeras-kerasnya perbuatan tidak bertangungjawab segelintir pihak yang telah mengakibatkan Surau Taman Pulai Impian disimbah cat dan dibaling dengan beberapa botol arak sebagaimana yang dilaporkan berlaku awal pagi semalam.

“Insiden ini yang melibatkan serangan ke atas rumah ibadat, sebagaimana kejadian-kejadian lepas yang membabitkan beberapa masjid dan gereja awal tahun ini, adalah satu yang amat keji dan tidak boleh diterima sama sekali.

“Malahan, kejadian mutakhir yang berlaku di Seremban itu juga mencemari kesucian bulan Ramadan yang penuh keberkatan bagi Umat Islam,” katanya lagi.

Sehubungan itu, kata beliau, Pemuda Umno mahu pihak polis menyiasat perkara ini dengan kadar segera bagi membawa pihak yang terlibat ke muka pengadilan.

“Pemuda Umno juga menyeru seluruh Umat Islam agar dapat bertenang dan tidak terjebak dalam polemik spekulasi di samping meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini agar dapat tampil membantu pihak polis menjalankan siasatan mereka.

“Dalam pada itu, saya juga telah mengarahkan Pemuda Umno Negeri Sembilan untuk bergotong-royong bagi membaik pulih Surau Taman Pulai Impian tersebut dalam masa yang terdekat,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.