Peruntukkan RM1.5 Juta Untuk Bonus Kakitangan Awam Pulau Pinang

PULAU PINANG 18 Ogos - Kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang hari ini meluluskan geran kewangan istimewa sejumlah RM1.5 juta untuk diagihkan sebagai bonus kepada 3,577 kakitangan awam di negeri itu.

Ini bermakna setiap kakitangan awam Pulau Pinang akan menerima bonus istimewa RM400 sebelum perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri, pembayaran bonus tersebut akan dibuat pada 3 September depan, iaitu kira-kira seminggu sebelum Aidilfitri.

“Pembayaran istimewa sekaligus sebanyak RM400 sempena Aidilfitri tahun ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang menghargai perkhidmatan awam negeri Pulau Pinang.

“Exco negeri Pulau Pinang berharap penjawat awam negeri akan terus berazam untuk bekerja lebih gigih untuk meningkatkan lagi kualiti sistem penyampaian dan memberi perkhidmatan lebih baik,” kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam kenyataan beliau.

Menurut Lim, sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran, usaha yang jitu lagi berterusan dilaksanakan bagi mencorakkan penjawat awam profesional ke arah bertaraf dunia.

Tambah beliau, Pulau Pinang tidak mampu untuk melonjak kepada status Bandaraya Antarabangsa tanpa usaha penjawat awam negeri memacu ke arah menjadi penanda aras antarabangsa.

Dasar kebajikan kerajaan negeri Pakatan Rakyat sebelum ini menyaksikan hadiah RM500 dan anugerah negeri kepada pekerja bawahan yang bekerja keras membersihkan longkang dan parit di negeri itu.

Warga emas berusia 60 tahun ke atas juga menerima saguhati RM100 setahun di negeri itu.

No comments

Powered by Blogger.