Politik , Peluru Hidup & Budaya Gangsterisme

Oleh: Shirzad Lifeboat

Apabila Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua menerima sepucuk surat ancaman berserta dengan peluru hidup bagi senapang automatik M16, ia mengundang persoalan apakah akan tiba ketikanya sekumpulan manusia yang tidak menyokong kerajaan dan juga ahli pembangkang akan menerima bom tangan hidup di dalam bungkusan yang dikirimkan kepada mereka menerusi perkhidmatan pos?

Dua tahun lalu Ahli Parlimen DAP Siputeh Teresa Kok menerima ancaman bom petrol di laman rumahnya berserta dengan nota mengancam keselamatan beliau dan keluarga. Turut sama menerima ancaman ialah Pengerusi nasional DAP, Karpal Singh yang menerima peluru 9mm hidup berserta ancaman ke atas nyawanya.

Nampaknya semacam telah lahir satu budaya gangsterisme dalam politik Malaysia di mana sekiranya sesuatu pihak tidak berkenan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh sesuatu pihak lain, terutamanya parti pembangkang, maka ada sahaja individu atau sekumpulan individu yang menggunakan taktik tidak bertamadun untuk menutup mulut sipengeluar kenyataan dari terus berkata.

Ingatan rakyat tentu masih segar dengan insiden kepala lembu di Shah Alam di mana sekumpulan individu Melayu (yang terbukti bukan penduduk di kawasan terlibat) berkumpul secara haram dan memijak kepala lembu kerana kononnya membantah pembinaan kuil di tempat berkenaan. Perhimpunan haram itu turut disertai dengan kenyataan provokasi yang bersifat perkauman namun anehnya tidak ada pula trak FRU berserta meriam air atau gas pemedih mata yang dikejarkan ke tempat kejadian walaupun perhimpunan itu haram, bersifat provokasi dan boleh mencetuskan ancaman perkauman dan sekaligus menjejaskan kenteraman awam.

Begitu juga dengan ancaman yang diterima oleh Karpal Singh dan Teresa Kok. Walaupun laporan polis telah dibuat, tidak terdapat pula kenyataan serius dan ikhlas dari pihak kerajaan menyatakan betapa perkara ini perlu ditangani sehingga ke akar umbi. Jika adapun hanyalah ayat klasik retorik dari sesetengah pemimpin tertentu kerajaan mengatakan “kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan.”

Selain daripada dilaporkan dalam bentuk berita kecil (itupun jika dilaporkan), media arus perdana juga seolah-olah menganggap apabila ancaman seperti ini berlaku ke atas pemimpin parti pembangkang maka ia bukanlah satu berita besar dan apatah lagi sesuatu yang seharusnya diberikan perhatian.

Politik adalah politik. Namun apakah soal keselamatan individu dan wujudnya individu tertentu yang cuba melaksanakan undang-undang di tangan sendiri boleh dikompromikan oleh pemimpin kerajaan, pihak penguatkuasa undang-undang dan media dan lalu membiarkan individu tersebut bergiat aktif sehinggakan dispekulasikan oleh umum sebagai di taja oleh parti politik tertentu.

Spekulasi seperti ini adalah tidak sihat untuk kesejahteraan negara. Sama ada spekulasi tersebut benar atau tidak adalah perkara lain, tetapi persoalannnya bagaimanakah sipenulis surat atau sipengancam itu memperolehi/menyimpan peluru hidup senjata api. Sekiranya mereka adalah ahli kongsi gelap yang menggunakan senjata api untuk melakukan jenayah merompak, memeras ugut dan sebagainya, bagaimana gangster seperti ini boleh tiba-tiba berminat dengan politik dan membuat ancaman bunuh atau mencederakan keselamatan anggota keluarga ahli politik yang ditidak disukai oleh sipengancam.

Analisis dan andaian berdasarkan hal-hal seperti inilah yang menyebabkan umum akhirnya percaya kepada spekulasi sedemikian dan yakin ada dalang terdiri dari sesebuah parti politik atau individu tertentu yang mewakili parti politik tersebut mengupah sigangster untuk menulis nota/surat ancaman dan disertakan sekali dengan peluru hidup.

Hanya penjenayah bertaraf gangster sahaja yang tahu dari mana untuk mendapatkan senjata api dan peluru hidup dan hanya mereka sahaja yang tidak takut dengan tali gantung kerana hukuman mandatori pemilikan senjata api dan peluru ialah gantung sampai mati.

Justeru apa yang berlaku ke atas Tony Pua menyebabkan kita terpaksa bertanya apakah politik Malaysia kini akan kerap lagi menyaksikan peluru hidup dikirimkan kepada ahli politik tertentu pembangkang? Paling penting apakah ini merupakah titik permulaan budaya gangsterism dalam politik kita dan apakah pemimpin kerajaan, pihak penguatkuasa undang-undang dan media arus perdana hanya akan memberikan reaksi suam-suam kuku sahaja?

No comments

Powered by Blogger.