PPIM Tidak Faham

SHAH ALAM 14 Ogos - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad hari ini menyelar Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang mendakwa beliau cuba membesarkan operasi pengeluaran minuman keras di negara ini ekoran lawatannya ke kilang minuman keras di sini baru-baru ini.

Persatuan itu, ujar beliau, tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan sedemikian yang menunjukkan PPIM tidak faham tujuan sebenar beliau mencadangkan tapak di Pelabuhan Klang sebagai alternatif operasi baru kilang itu bagi menggantikan tapak sedia ada di Shah Alam.

Katanya, cadangan itu dikemukakan kepada pihak pengurusan kilang memandangkan tapak kilang sedia ada merupakan kawasan strategik dan juga kawasan pintu masuk ke Shah Alam yang boleh dibangunkan dengan projek mercu tanda lain seperti Terminal Bas Shah Alam.

"Saya cadangkan kepada kilang itu sama ada boleh atau tidak mereka pindah operasi ke Pelabuhan Klang sekiranya ditawarkan tanah di kawasan berkenaan yang lebih baik. Saya tidak tawarkan tanah kepada mereka, ia cuma cadangan.

"Namun, pihak pengurusan kilang berkenaan dilihat menolak cadangan tersebut atas sebab kos pemindahan yang tinggi.

"Malah, pengurusan kilang itu juga menyatakan mereka telah membeli tanah seluas enam ekar (2.42 hektar) di kawasan berhampiran kilang antara tahun 2000 atau 2001 untuk perancangan masa depan operasi mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ekoran itu, tambah Khalid, pihaknya akan mencari lokasi lain di Shah Alam untuk projek pembinaan terminal bas tersebut.

Beliau mengulas tindakan PPIM yang mengkritiknya (Penghinaan pada umat Islam – PPIM) kerana menawarkan kawasan baru lebih luas di Pelabuhan Klang kepada kilang berkenaan ketika Yang Dipertua Pas Shah Alam itu mengadakan lawatan rasmi ke kilang itu pada 5 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, sekiranya PPIM membantah pembesaran operasi kilang tersebut, mereka seharusnya mengambil tindakan sedemikian sebelum pihak pengurusannya membeli tanah berhampiran kawasan kilang mereka itu.

Beliau berkata, pekerja beragama Islam tidak seharusnya diberhentikan terus hanya kerana mereka bekerja di kilang berkenaan sebaliknya perlu didekati sepanjang masa dan diberi penekanan mengenai aspek agama.

"Kita tidak boleh hukum mereka kerana bekerja di kilang arak. Tetapi, mereka harus didekati menerusi program bersesuaian dan menerapkan nilai agama dengan harapan mereka insaf serta berubah dengan sendirinya untuk meninggalkan pekerjaan tersebut," ujarnya.

Berita ihsan Utusan Online
-Pejabat YB Khalid Samad-

No comments

Powered by Blogger.