Republik Indonesia Mekar Dengan Perjuangan Prinsip Demokrasi

SHAH ALAM 18 Ogos - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertalian erat di antara Malaysia dan Indonesia semestinya tidak dapat disangkal lagi yang dibuktikan melalui sejarah dan budaya walaupun dipisahkan dengan jarak 'sempadan'.

Dalam perutusan beliau sempena perayaan kemerdekaan yang ke-65 Indonesia semalam, Anwar menyatakan sejarah mencatatkan betapa Proklamasi Kemerdekaan Bung Karno-Hatta turut menyemarakkan semangat rantau khususnya di Semenanjung Tanah Melayu ketika itu.

Justeru kemerdekaan Indonesia sapertimana juga Malaysia pada 31 Ogos sewajarnya mencernakan idealisme perjuangan menuntut kebebasan dan mengisinya dengan memartabatkan rakyat.

"Hari ini rakyat Indonesia di mana saja mereka berada menyambut ulang tahun ke 65 kemerdekaan Republik tersebut dengan rasa penuh bangga. Mengapa tidak mereka merasa begitu kerana setelah melalui segala kepayahan, Republik yang mereka cintai kini sedang tumbuh mekar sebagai salah satu negara terbesar di dunia yang terus beriltizam dengan prinsip-prinsip demokratik.

"Bersempena 17 Ogos ini, saya mendoakan agar Republik Indonesia akan kekal makmur dan sejahtera. Moga keakraban budaya dan ikatan sejarah memastikan kerjasama yang lebih erat dan didasari rasa saling hormat menghormati di antara kita," kata Anwar dalam perutusan ringkas beliau.

No comments

Powered by Blogger.