Royalti minyak: Kelantan fail saman terhadap Petronas Isnin ini

Oleh G Manimaran

KUALA LUMPUR, 25 Ogos — Kelantan mengambil keputusan muktamad untuk menyaman Petronas berhubung tuntutan royalti minyak Isnin ini — sehari sebelum negara menyambut Hari Kemerdekaan.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat Exco tengah hari ini yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat.

“Ya, kami sudah mengambil keputusan untuk menyaman Petronas, kes akan difailkan pada Isnin ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Datuk Husam Musa ketika dihubungi petang ini.

Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada Mac lalu sebulat suara meluluskan usul untuk memberikan mandat kepada kerajaan negeri untuk mengambil sebarang tindakan termasuk tindakan mahkamah bagi menuntut royalti minyak seperti mana yang termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum 1975.

Kerajaan Kelantan tidak mengiktiraf penyaluran wang ihsan menggantikan royalti minyak oleh kerajaan pusat, dan telah menuntut lebih RM1 bilion royalti tersebut berikutan hasil minyak yang dikatakan dikeluarkan dari kawasan perairan negeri ini sejak beberapa tahun lalu.

Tuntutan itu dibuat sebelum pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Julai tahun lalu berdasarkan kepada perjanjian melalui Akta 144 Kemajuan Petroleum 1974.

Kerajaan Pusat bagaimanapun hanya bersetuju memberikan wang ihsan sebanyak RM25 juta yang telah diberikan kepada rakyat Kelantan pada Mei lalu.

Husam berkata kerajaan negeri memutuskan untuk memfailkan kes itu pada 30 Ogos atas semangat “negara mencapai kemerdekaan” dan Kelantan merupakan salah satu negeri yang berdaulat dalam persekutuan.

“Kes akan difailkan pada pukul 9.30 pagi (Isnin ini) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan selepas itu Menteri Besar akan mengetuai sembahyang khas di Masjid Wilayah Persekutuan,” kata beliau.

Masjid Wilayah Persekutuan terletak berhampiran dengan Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaacob juga akan hadir pada Isnin ini, kata Husam yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri.

Husam yang juga pengerusi jawatankuasa khas mengenai tuntutan minyak berkata, mesyuarat tengah hari tadi hanya membincangkan perkataan-perkataan yang perlu disebut dalam saman terbabit.

Bagaimanapun kata beliau, jumlah tuntutan tidak dibincangkan pada mesyuarat hari ini dan menyerahkan kepada mahkamah.

“Kita tak bincang pasal jumlah tututan kita, itu terpulang pada mahkamah lah nanti,” ujar Husam lagi.

No comments

Powered by Blogger.