Sandiwara terbaru pembangkang — Zulkiflee Bakar

24 OGOS — Mungkin para penyokong pembangkang memandang sinis peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai janji bersifat habuan wang ringgit yang ditaburkan oleh parti pembangkang.

Walaupun Pilihan Raya Umum Ke-13 entah bila hendak dilaksanakan, namun pembangkang sudah mula mengatur gerak kerja bagi memperdayakan rakyat dengan janji manis mereka. Dengan kata mudah, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP terutamanya mula menyiram virus bagi mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menyokong mereka.

Kedua-dua parti itu dengan disokong oleh PAS yang pasti memahami bahawa janji tidak ditunaikan adalah perbuatan orang munafik, cuba memberikan gambaran kepada rakyat bahawa kalau pembangkang diberi peluang menawan Putrajaya, maka kehidupan mereka akan berubah sama sekali.

Semua keluarga di negara ini akan menerima gaji RM4,000 sebulan manakala semua warga emas akan mendapat RM1,000 sebulan. Begitulah hebatnya janji pembangkang yang jelas sekali sanggup ‘bersilat lidah politik’ demi mencapai cita-cita mereka untuk memerintah negara ini.

Mereka sudah tidak peduli sama ada janji yang dibuat itu mampu dilaksanakan atau pun tidak. Apa yang penting ialah rakyat perlu diberi kata-kata manis seperti mana yang mereka lakukan dalam pilihan raya umum lalu.

Pembangkang mungkin berjaya dalam misi pertama pada PRU 2008 apabila menabur pelbagai janji yang akhirnya mendatangkan keuntungan politik kepada mereka termasuklah janji berkaitan wang ringgit.

Ia terbukti apabila kelemahan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu menjadi faktor tambahan kepada kejayaan pembangkang.

Akhirnya pembangkang berjaya menawan Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Perak (selama 11 bulan) dan menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen. Tetapi apakah kali ini, impian pembangkang tersebut akan menjadi kenyataan? Apakah kali ini, taktik menabur janji akan membawa kejayaan kepada mereka? Atau masihkah ada rakyat yang tetap seronok untuk terpedaya dengan janji pembangkang?

Sukar untuk diperkatakan tetapi apa yang pasti, pemerintahan pembangkang di Kedah, Selangor dan Pulau Pinang sudah menjadi bukti bagaimana terlalu banyak janji yang dibuat oleh PKR, DAP dan Pas ketika pilihan raya umum lalu sehingga kini masih tidak ditunaikan.

Keadaan itu menjadi bukti bahawa pembangkang sebenarnya menabur janji kepada sesetengah perkara yang mereka tahu tidak akan mampu ditunaikan. Ini diakui oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abd.Razak yang baru-baru ini pernah menyatakan bahawa, janji yang dibuat adalah sebelum mendapat kuasa.

‘‘Tetapi apabila kita sudah mendapat kuasa, barulah kita tahu bahawa ada banyak perkara yang bukan di bawah bidang kuasa kita,” katanya. Keadaan yang sama juga berlaku di Selangor apabila Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim lebih suka mencari kesalahan orang lain daripada menunaikan janji yang pernah dibuat oleh pakatan pembangkang.

Pelbagai alasan diberi dalam usaha menepis serangan bahawa pembangkang hanya menabur janji kosong. Apa yang lebih malang, pentadbiran Selangor menjadi kucar-kacir dan sentiasa sahaja tidak tenang.

Satu demi satu isu berlaku kerana pentadbiran kerajaan negeri tidak menunaikan janji seperti mana yang mereka buat. Ia termasuklah berjanji melaksanakan pentadbiran yang telus dan berintegriti tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya, selain terlalu banyak kepincangan dan penyelewengan berlaku.

Di Pulau Pinang, keadaan menjadi lebih buruk apabila Ketua Menteri yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang kononnya ingin mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz melakukan pelbagai tindakan yang dilihat tidak adil kepada kaum tertentu, terutamanya orang Melayu.

Malahan Guan Eng dilihat berat sebelah dan tidaklah seadil mana berbanding dengan janji yang dibuat oleh pembangkang ketika kempen pilihan raya dilaksanakan. Tetapi apa yang rakyat boleh buat terutamanya mereka yang sebelum ini mengundi hanya semata-mata kerana marahkan kerajaan BN.

Ketika membuat keputusan memilih pembangkang dahulu, mereka bukan sahaja dipengaruhi oleh perasaan marah, malahan sedikit sebanyak terpedaya dengan janji-janji manis pembangkang.

Tetapi sekarang sudah terbukti bahawa pembangkang hanya bijak menabur janji dan rakyat yang menyokong mereka kini sudah terperangkap.

Namun penyesalan sudah tidak berguna kerana mereka sudah membuat keputusan. Tetapi apakah dalam pilihan raya umum akan datang mereka akan mengulangi kesilapan yang sama? Mungkin mereka tidak berpuas hati dengan beberapa langkah dan dasar kerajaan tetapi sekurang-kurangnya kerajaan BN menjanjikan perkara yang hanya mampu ditunaikan, bukannya menjanjikan bulan dan bintang atau perkara yang tidak mampu dilaksanakan.

Kenapakah apabila kerajaan tersilap langkah maka kerajaan akan dianggap tidak menunaikan janji? Kenapa apabila pembangkang sehingga kini tidak menunaikan janji, mereka dianggap masih di awal pemerintahan?

Oleh itu, rakyat perlu menjadikan peringatan daripada Perdana Menteri itu sebagai pemacu untuk mereka bermuhasabah, adakah pembangkang yang selama ini diberi peluang memerintah empat negeri telah menunaikan janji mereka.

Kalau di peringkat negeri pun mereka sudah terkial-kial hendak menunaikannya, bagaimana kalau janji dibuat di peringkat pusat? Janganlah dipatuk dua kali oleh ular di lubang yang sama! — Utusan Malaysia

No comments

Powered by Blogger.