Awal-awal Lagi Anak Toyol Kena Tegur Dengan Ghani Patail

'Tutup mulut'

Oleh Magendran Rajagopal dan Lum Chee Hong

Peguam Negara tegur tindakan bekas Menteri Besar Selangor buat kenyataan di media, blog

PUTRAJAYA: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail semalam menegur Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo supaya jangan terus membuat kenyataan mengenai kesnya yang berkemungkinan boleh ‘memakan diri sendiri’.
Beliau berkata, kenyataan keterlaluan yang dibuat bekas Menteri Besar Selangor berhubung kes itu boleh digunakan sebagai bukti terhadapnya dalam perbicaraan, selain subjudis.
Katanya, pihak pendakwaan hanya memerlukan dua atau tiga minggu bagi membuktikan kes terhadapnya dan meminta Dr Mohamad Khir yang didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Isnin lalu berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam, bersabar sehingga mahkamah membuat keputusan.

Abdul Gani berkata demikian mengulas kenyataan Dr Mohamad Khir yang menyifatkan tuduhan terhadapnya itu sebagai peluang baginya membersihkan nama, selain berterima kasih kepada pendakwa raya kerana memberinya peluang menjelaskan isu berkaitan banglo dan tanah dimilikinya di mahkamah.

Dalam laman blognya, Dr Mohamad Khir turut menyatakan harapan supaya perbicaraan dilakukan secepat mungkin dan tidak ditangguh-tangguhkan bagi menghalangnya daripada bergiat dalam politik.

Kenyataannya itu mendorong pihak tertentu menganggap tuduhan terbabit hanyalah satu sandiwara atau gimik politik yang berkemungkinan menandakan pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi.
“Ini (pendakwaan) bukan sandiwara, pasukan pendakwaan sudah ada bukti mencukupi dan kukuh bagi menyokong kes kita terhadap Dr Mohamad Khir. Takkan saya sendiri mengetuai pendakwaan jika proses ini hanya untuk mengabui mata rakyat kerana ini juga membabitkan etika dan integriti saya.

“Malah, kita tidak mahu mengaibkan tertuduh sebelum mahkamah membuat keputusan. Apa saja tuduhan akan dibacakan di mahkamah. Itu prosedur sepatutnya. Kita tak boleh buat ‘roadshow’ semata-mata untuk memuaskan hati masyarakat umum, sebaliknya kena tengok pada fakta dan realiti.

“Membuat kenyataan mengenai kes ini, baik melalui media atau laman blog, adalah subjudis dan semakin banyak seseorang itu bercakap, semakin tinggi kemungkinan ia menjejaskan kesnya sendiri,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Dr Mohamad Khir, dalam laman blognya pada hari sama dia dituduh, mendakwa tuduhan terhadapnya secara tidak langsung membuktikan nilai hartanah miliknya ialah RM3.5 juta dan bukan RM24 juta, seperti didakwa sesetengah pihak dan beliau mematuhi semua prosedur termasuk pembelian tanah dan pembinaan rumah.

Abdul Gani berkata, adalah satu kebiasaan bagi ahli politik bercakap begitu tetapi jangan keterlaluan sampai seolah-olah melakukan perbicaraan melalui media sebelum didengar di mahkamah.

Katanya, Jabatan Peguam Negara sudah banyak kali mengingatkan mengenai perkara itu tetapi seolah-oleh tidak diendahkan pihak berkenaan.

“Saya sendiri sebenarnya mahukan perbicaraan yang pantas tetapi kita kena patuh kepada undang-undang, kita kena adil dan saksama kepada semua pihak. Sama ada sesuatu kenyataan itu subjudis atau tidak terpulang kepada mahkamah untuk tentukan.

“Pihak pendakwa tidak akan sekali-kali mencabuli undang-undang. Bagi kami, Dr Mohamad Khir adalah seorang tertuduh, sama seperti mana-mana tertuduh lain yang kita hadapkan ke mahkamah.

“Lihat saja kadar jaminan RM1 juta yang saya cadangkan. Rakan sekerja saya sendiri terkejut,” katanya sambil menegaskan banyak lagi pendedahan akan dilakukan sepanjang perbicaraan itu.

Isnin lalu, Dr Mohamad Khir didakwa mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi, iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di alamat No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Datuk Shamsuddin Hayroni dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta, manakala Shamsuddin pula mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

ADUN Sungai Panjang yang meletakkan jawatannya sebagainya Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, semalam, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Beliau mengaku tidak bersalah.

Di mahkamah sama, Shamsuddin, 52, turut mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Dr Mohamad Khir melakukan kesalahan itu di tempat, masa dan tarikh sama. Shamsuddin, didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Sekurang-kurangnya 16 saksi akan dipanggil, termasuk empat saksi utama, untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu dan mereka kini diberi perlindungan mengikut Akta Perlindungan Saksi, yang diluluskan Dewan Negara pada 6 Mei lalu.

1 comment

Unknown said...

Ini sendiwara umno untuk menunjukkan umno bersungguh-sungguh memerangi rasuah.

Tuduhan yang dikenakan ke atas Khair Toyo ialah membeli harta bernilai RM6 juta lebih dengan harga hanya RM3.5 juta. Ada rasuah terlibat ke kalau semua dokumennya sah? Takde. Khair Toyo akan dibebaskan..!!!!!!!

Tuduhan yang sepatutnya ialah 1. Dari mana Khair Toyo mendapat wang RM3.5 juta untuk membeli harta itu.Ada Kumpulan Wang Rasuah ke?
2. Mengapa si penjual sanggup menjual dengan harga yang rendah dan sanggup menanggung kerugian yang begitu besar? Apa ganjaran/rasuah yang diberi oleh Khair Toyo kepada si penjual hingga sanggup menjual dengan harga yang begitu rendah?

Powered by Blogger.