DUN Tenang: PAS Johor senarai pendek lima calon

JOHOR BARU, 23 Dis – PAS Johor yakin dapat menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada pilihan raya kecil nanti, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata keyakinan ini berdasarkan trend semakin ramai pengundi memilih parti itu sejak pilihan raya umum ke-12 lalu.

“Jumlah undi yang diperoleh calon PAS Mohd Saim Siran meningkat dari 2,138 undi pada pilihan raya umum ke-11 kepada 3,875 undi pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu, jadi kita yakin mampu menawan Tenang pada PRK kali ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Komposisi pengundi di Tenang ialah 50 peratus Melayu, 38 peratus Cina dan 12 peratus India.

Keadaan itu hampir serupa dengan komposisi pengundi di dua kerusi yang dimenangi PAS pada PRU-12 yang lalu iaitu DUN Maharani dan DUN Sungai Abong, tambah beliau.

“Mengambil senario pengundi Cina masih bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat, maka fokus gerak kerja PAS adalah untuk meningkatkan undi daripada pengundi Melayu dan India,” kata Dzulkefly.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Sulaiman Taha, 59 akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri Kuala Lumpur Jumaat lepas.

Esok, Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian untuk PRK DUN Tenang.

Dzulkefly berkata bagaimanapun kemenangan PAS nanti tidak akan menjejaskan kekuasaan BN di Johor, namun ia akan menambah suara pembangkang di DUN kepada tujuh yang ada, dua PAS dan empat DAP.

Ini katanya akan mewujudkan konsep keseimbangan yang berkesan agar setiap keputusan yang dibuat kerajaan negeri, akan sentiasa memberikan kesan yang baik dan menguntungkan rakyat.

Beliau berkata isu yang akan dibangkitkan PAS pada PRK itu antaranya rasuah, kelemahan urus tadbir negeri dan peningkatan jumlah hutang kerajaan negeri kepada kerajan pusat.

Mengenai calon, Dzulkefly berkata lima individu telah disenarai pendek untuk kelulusan PAS Pusat.

Calon itu mestilah mempunyai faktor-faktor boleh menang seperti diterima penduduk dan pengundi, memahami suasana dan masalah rakyat dan berpendidikan di samping komited untuk berkhidmat kepada penduduk tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik. – Bernama

No comments

Powered by Blogger.