DUN Tenang ujian benar populariti BN, kata Ibrahim Ali

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 19 Dis — Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat akan menjadi satu “ujian besar” yang sebenar kepada Barisan Nasional (BN) dalam memperlihatkan sokongan dan popularitinya.

Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali berkata perubahan besar yang dilakukan BN dan Pakatan Rakyat memainkan peranan penting untuk menentukan parti mana yang akan mencapai kemenangan di Tenang.

“Pada pilihan raya umum ke-11 BN dapat majoriti lebih 5,000 dan pilihan raya umum ke-12 majoriti BN turun kepada 2,000 lebih.

“Maka pilihan raya kecil ini dapat kita lihat sama ada majoriti BN bertambah atau tidak. Undi Melayu bertambah atau kurang, undi Cina bertambah atau kurang, pengaruh (Datuk Seri) Chua (Soi Lek) kuat atau Chua Jui Meng (Pengerusi PKR Johor)?

“Dan, undi India juga tidak sedikit. Bila (Datuk Seri S.) Samy (Vellu) berhenti, pada (Datuk G.) Palanivel dapat kembali undi India kepada BN? Apakah ia tenang untuk BN atau gelora? Sama-sama kita lihat ujian (Datuk Seri) Najib (Razak) dan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) PKR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun beliau tidak menyebut sama ada akan berkempen untuk BN sebagaimana disaksikan ketika pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor dan DUN Manek Urai.

Ibrahim yang juga Presiden Perkasa berkata pilihan raya kecil DUN akan menjadi ukuran kepada Umno-BN kerana kawasan yang terletak di Johor itu adalah kubu kuat parti itu.

“Pilihan raya DUN Tenang akan benar-benar menjadi ukuran kepada BN... ia di Johor, kubu kuat Umno.

“Ia juga kubu kuat Soi Lek (Presiden MCA) dan pengundi Cina 38 peratus lebih,” katanya.

DUN Tenang yang terletak dalam kawasan Parlimen Labis mempunyai 14,511 pengundi berdasarkan perangkaan SPR 2008 dan kira-kira 49 peratus pengundi adalah kaum Melayu, Cina pula 38 peratus manakala masyarakat India dalam lingkungan 12 peratus.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lalu.

Allahyarham Sulaiman, 59, meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN berkenaan dengan majoriti 2,492 undi menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran.

Pada pilihan raya umum 2008 BN mempertahankan kerusi Tenang dengan 2,492 undi berbanding 5,517 undi empat tahun sebelum itu.

Pada pilihan raya umum 1999 majoriti diperoleh calon BN adalah dalam lingkungan 8,649 undi ketika pengundinya dalam sekitar 24,100 orang.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta jentera Umno-BN supaya bukan sahaja mempertahankan kerusi DUN Tenang, sebaliknya meningkatkan jumlah sokongan pengundi kawasan berkenaan.

Muhyiddin berkata pilihan raya kecil tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak dan BN memerlukan penglibatan secara bersatu sebagai syarat mencapai kejayaan.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata parti Islam itu akan meletakkan calon di DUN Tenang bagi mewakili Pakatan Rakyat sambil yakin bakal mencatatkan kejutan pada pilihan raya kecil kali ini berdasarkan prestasi parti itu sejak lebih sedekad lalu.

Sejak pilihan raya umum 2008, 13 pilihan raya kecil telah diadakan dengan 10 daripadanya diadakan kerana kematian wakil rakyat.

BN memenangi 50 kerusi DUN di Johor pada pilihan raya umum 2008 sementara DAP empat kerusi dan PAS dua kerusi.

No comments

Powered by Blogger.