Pakatan pembangkang belum putus bakal calon bertanding kerusi dun tenang

KEPALA BATAS, 19 Dis — Pakatan Pembangkang belum memutuskan calon yang bakal bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor yang kosong berikutan kematian anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu Datuk Sulaiman Taha pada Jumaat lepas.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Pakatan Pembangkang akan mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu dan sedia menghadapi pilihan raya kecil DUN Tenang secara bersama seperti pilihan raya kecil lepas.

“Kita belum putuskan (calon) dan akan mesyuarat dulu, siapa calonnya akan dimaklumkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Pakatan Pembangkang Kedua sehari di dewan Millenium di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha agung DAP Lim GUang Eng.

Allahyarham Sulaiman meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur.

Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

Sementara itu, Lim berkata sama ada pilihan raya umum ke-13 diadakan secara berasingan di negeri-negeri yang ditadbir pembangkang, bergantung pada pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita tunggu pengumuman daripada Perdana Menteri dan ada ura-ura menyatakan beliau hanya akan membubarkan Parlimen dan Sarawak (Dewan Undangan Negeri Sarawak) sahaja tapi tidak yang lain.

“Sebarang keputusan berhubung pengumuman itu akan dirunding secara bersama dalam PR (Pakatan Pembangkang),” katanya. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.