Eksekutif Goldman Sachs terima bonus US$111.3 juta

NEW YORK: Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs Group Inc. Lloyd Blankfein dan timbalan-timbalannya akan menerima kira-kira US$111.3 juta dalam bentuk saham bulan depan ekoran bayaran bonus 2007 yang ditangguhkan tahun lalu.

Blankfein, 56, akan menerima sebanyak US$24.3 juta pada Januari, berdasarkan harga saham ditutup pada 14 Disember, manakala Presiden Gary D Cohn, 50, akan menerima US$24 juta, demikian menurut laporan syarikat.

Bayaran ini hanya merupakan sebahagian dari US$67.9 juta bonus yang diberi kepada Blanfein untuk 2007 dan RM66.9 juta untuk Cohn, mengakibat nilai saham jatuh 24% dari harga US$218.86.

Dalam tempuh setahun, bonus itu diluluskan, Goldman Sachs mengambil dana penyelamat Amerika Syarikat sebanyak US$10 bilion, mencagarnya kepada bank dan meminjam sebanyak US$35.4 bilion, sehari selepas pelancaran program kecemasan Rezab Persekutuan.

Pada tahun ini, firma yang beribu pejabat di New York ini membayar US$550 juta untuk menyelesaikan kes dakwaan penipuan berhubung cagaran pinjaman yang dijual oleh syarikat pada 2007.

Stok tertangguh

Sejak krisis kredit 2008 yang meruntuhkan Lehman Brothers Holdings Inc. dan menyebabkan kerajaan terpaksa menghulurkan bantuan pinjaman kepada institusi-institusi kewangan, pihak berkuasa menggalakkan bank-bank membayar pegawai-pegawai kanan dengan stok tertangguh dan mengambil semula saham itu jika sekiranya, berlaku kerugian dalam urusniaga.

Blankfein dan Cohn, yang masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak US$27 juta dan US$26.6 juta pada 2007, tidak menerima apa-apa bonus pada 2008 dan hanya menerima stok terhad pada 2009.

Goldman Sachs mengumumkan pada 10 Disember 2009, bahawa kesemua 30 ahli jawatankuasa pengurusan hanya akan menerima stok terhad menggantikan bayaran bonus hujung tahun. Syarikat itu tidak membuat pengumuman yang serupa tahun ini.

Sepanjang sembilan bulan pertama tahun 2010, Goldman Sachs memperuntukkan sebanyak US$13.1 bilion untuk menampung bayaran sagu hati dan perbelanjaan keraian, atau cukup untuk membayar pekerja

yang seramai 35,400 orang itu sebanyak US$370,706 seorang. Setahun sebelum itu, puratanya ialah sebanyak US$527,192 setiap pekerja.

Pembayaran ini dibuat pada ketika firma-firma lain di Wall Street menjangka membuat bayaran bonus yang semakin rendah. Sagu hati untuk para pekerja urusniaga dan pelaburan banking dijangka merosot sebanyak 22% kepada 28% dari tahun lalu, menurut Options Group, sebuah firma perunding di New York.

Morgan Stanley telah memberitahu kakitangannya untuk menjangkakan bayaran bonus yang lebih rendah, berkurang sebanyak 10% kepada 30%, kata pegawainya awal bulan ini.

No comments

Powered by Blogger.