Kes MAS: Bukti baru satu kemenangan harap ada tindakan, kata MP PAS

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 16 Dis — Ahli Parlimen Salahuddin Ayub yang sebelum ini membangkitkan isu kerugian Penerbangan Malaysia (MAS), menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar “proakif” kali ini memandangkan sudah ada bukti terbaru membabitkan kes Tan Sri Tajuddin Ramli.

Wakil rakyat Kubang Kerian ini berkata usaha beliau selama ini membuahkan hasil apabila SPRM mengumumkan penemuan bukti baru dalam kes melibatkan Tajuddin.

Tajuddin menerajui MAS sebagai pengerusi eksekutif dari 1994 hingga 2001.

“Saya rasa agak gembira kerana usaha satu tahun ini mula menampakkan satu harapan untuk kes ini disiasat lebih serius.

“Telah enam pucuk surat dihantar dalam tempoh satu tahun ini untuk memastikan GLC penting ini disiasat kes kerugiannya.

“Bagi saya, apa yang diumumkan tentang bukti baru adalah kemenangan untuk rakyat,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Laporan polis pertama terhadap Tajuddin dibuat pada 2002 kerana dipercayai menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian lebih RM8 bilion.

Beliau yang juga naib presiden PAS berkata mahu mengadakan pertemuan dengan SPRM dalam tempoh terdekat sambil menyifatkan kes berprofil tinggi itu penting kepada rakyat untuk mengetahui kebenarannya.

“Setakat ini saya masih belum tahu apa bukti itu tapi saya akan cuba dapatkan dengan SPRM atas kapasiti saya sebagai ahli jawatankuasa khas SPRM.

“Saya akan menghantar surat atau saya sendiri akan ke SPRM untuk mendapatkan maklumat mengenai bukti baru itu.

“Mungkin bukti baru itu masih lagi dianggap sulit tapi saya harap proses siasatan akan terus berjalan untuk membawa individu yang terlibat dalam kerugian MAS ke muka pengadilan,” kata beliau.

Salahuddin mengulas kenyataan Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil semalam, yang mendedahkan wujudnya bukti baru dalam siasatan kes Tajuddin.

Hadenan bagaimanapun tidak menghuraikan lebih lanjut berhubung penemuan bukti baru itu.

“SPRM masih lagi menyiasat (kes) Tan Sri Tajuddin Ramli berhubung dakwaan rasuah.

“Terdapat bukti baru bagi kes Tajuddin Ramli, tetapi kita tidak boleh dedahkan apa-apa butiran. Terdapat saksi-saksi baru, tetapi dengan semua kes rasuah ini, ia hanya boleh disiasat jika saksi tampil ke hadapan,” kata Hadenan.

MAS mengalami kerugian sehingga RM8 bilion ketika Tajuddin menjadi pengerusi eksekutif yang mana terdapat laporan pernah dibuat terhadap beliau.

Tambah Salahuddin, SPRM perlu bertindak lebih proaktif dalam menyiasat kes-kes berprofil tinggi termasuk kes MAS.

“Kes ini (MAS) adalah kes kedua terbesar selepas PKFZ, harap SPRM tidak abaikan kes ini.

“Saya juga harap SPRM dapat bertindak lebih proaktif dalam kes ini bagi memastikan individu yang terlibat dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Berdasarkan laporan yang dibuat kepada SPRM, kerugian utama yang direkodkan di bawah Tajuddin ia petempatan semula operasi kargo MAS di Amsterdam dan Frankfurt sebagai satu hab tunggal di Hahn, Jerman yang mana syarikat penerbangan dipaksa menyertai kontrak pesawat yang merugikan dengan sebuah syarikat, didakwa mempunyai kaitan dengan keluarga Tajuddin.

Operasi hab kargo baru itu menyebabkan MAS menanggung kerugian antara RM10 juta dan RM16 juta sebulan sebelum projek itu dihentikan selepas kerajaan mengambil alih pengurusan MAS pada 2001.

Laporan kepada SPRM bertarikh Mei 2009 mendakwa Jabatan Peguam Negara enggan mendakwa Tajuddin walaupun ketua CCID ketika itu Datuk Ramli Yusoff memberi jaminan pada 2007 bahawa ada menemui kesalahan-kesalahan yang boleh dibuktikan.

Malah laporan itu mendakwa Tajuddin diberikan akses kepada rekod-rekod siasatan dan polis yang kemudian digunakan untuk dakwaan proses artibrasi.

No comments

Powered by Blogger.