Isu Tan Sri Ali Hashim : Di Sini Putih Bukanlah Warna

1. Saya mengenali bekas Pengerusi dan CEO Johor Corporation, Tan Sri Ali Hashim hampir dua tahun. Selalu berurusan dengan para pegawai kanannya dan sering pula menulis tentang perkembangan anak-anak syarikat JCorp. Sepanjang saya menjadi wartawan, saya sangat selesa bekerjasama dan begitu mudah mendapatkan pandangan dan idea daripada Tan Sri Ali Hashim. Secara jujur saya katakan, beliau merupakan salah seorang CEO yang sangat saya kagumi dan hormati. Cara dan strategi Tan Sri Ali Hashim mengIslamisasikan organisasi di bawah pentadbirannya, patut dipuji dan diberi penghargaan.

2. Walaupun apa pun yang dikatakan oleh musuh-musuhnya - ia masih belum mampu menafikan segala kebaikan dan jasa beliau dalam membina dan membangunkan JCorp, sehingga dihormati dan dikagumi oleh banyak pihak. Saya tidak tahu apakah sebenarnya yang telah berlaku dalam pentadbiran JCorp sejak akhir-akhir ini. Namun demikian, saya yakin ada sesuatu yang tidak kena, sehingga Tan Sri ali Hashim bertindak meletakkan jawatan.

3. Saya mengenali Tan Sri Ali Hashim melalui idealismenya yang sering menjadi perbincangan pelbagai pihak, iaitu "Jihad Bisnes" dan "Jihad Ekonomi" - saya agak bernasib baik kerana sempat berbincang dan belajar secara terus dengan Tan Sri berhubung kedua-dua konsep tersebut, bahkan kami hampir sahaja menulis sebuah buku secara bersama berkenaan idea-idea penting beliau itu. Saya mungkin antara ribuan peminat Tan Sri Ali Hashim yang agak kecewa, atas perletakan jawatan beliau sebagai CEO JCorp dan mengakhiri kerjayanya yang cemerlang dengan cara yang sebegini rupa. Tetapi, itulah surat takdir.

4. Ruang yang terhad ini tidak mungkin mampu mengungkapkan segala jasa dan pengorbanan yang beliau taburkan demi memajukan usahawan Melayu di negara ini. Saya sebenarnya sangat sedih apabila mengetahui Tan Sri Ali Hashim meninggalkan JCorp secara mengejut. Malah, saya juga tidak tahu sama ada penggantinya, adalah seorang yang berjiwa besar seperti beliau yang sanggup berkorban demi memajukan usahawa Melayu atau pun mungkin sebaliknya.

5. Sayang, JCorp kehilangan seorang tokoh korporat yang terbukti berjaya menterjemahkan Dasar Ekonomi Baru dengan cara yang sangat praktikal dan mengimplementasikan akhlak Islam dalam pengurusan organisasinya dengan begitu berkesan - sehingga gabungan ini, mewujudkan identiti tersendiri untuk JCorp memacu kecemerlangannya. Saya berharap - dunia korporat Malaysia tidak terikut-ikut dengan rentak dan tari dunia politiknya yang menjadikan fitnah dan pembohongan, sebagai "alat sihir" untuk membuktikan kehebatan!

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Tan Sri Muhammad Ali Hashim hari ini menyifatkan dakwaan kononnya beliau adalah dalang di sebalik cadangan pelupusan QSR Brands Bhd. dan anak syarikatnya KFC Holdings (M) Bhd. sebagai tuduhan berniat jahat. Bekas Pengerusi dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) itu berkata, tuduhan itu ternyata satu pembohongan semata-mata untuk memutarbelit tentang apa yang sedang nyata berlaku di dalam organisasi milik Kerajaan Negeri Johor itu.

Beliau yang berkhidmat selama 30 tahun dalam agensi itu berkata, dakwaan itu tidak benar kerana jelas bertentangan prinsip perjuangannya selama ini bahawa semua aset dan perniagaan JCorp dan kumpulan syarikatnya adalah milik masyarakat negeri itu. ''Sekiranya benar saya mahu menggadaikan QSR dan KFC, sudah tentu saya telah menswastakannya termasuk kepada diri saya sendiri.

''Meskipun kerajaan telah melaksanakan Dasar Penswastaan tetapi sepanjang di JCorp saya tetap berpegang kepada prinsip bahawa saham-saham syarikat itu perlu dikekalkan dalam tangan syarikat milik kerajaan negeri supaya ia mewakili kepentingan rakyat terbanyak,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Muhammad Ali menyuarakan demikian bagi menyangkal tuduhan yang dibuat oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang mendakwa beliau terlibat dalam merancang penjualan QSR dan KFC.

Bekas peneraju syarikat konglomerat itu mula menarik perhatian media pada tahun ini apabila beliau meletakkan jawatannya Julai lalu walaupun tempoh kontraknya berakhir pada bulan ini. Kisah JCorp menarik perhatian korporat tempatan apabila anak syarikatnya Kulim Bhd. (Kulim) yang menguasai kepentingan dalam QSR menerima tiga cadangan pengambilan alih daripada pihak luar. Bagaimanapun, kesemua cadangan pengambilan alih itu ditolak dan kemuncak kepada rentetan tersebut, Muhammad Ali bakal disingkirkan daripada kerusi Pengerusi Kulim dan KPJ Healthcare Bhd. dan Damansara Realty Bhd. menjelang mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan pada Januari ini.

Mengulas lanjut tentang tuduhan liar itu, Muhammad Ali berkata, dakwaan yang dibuat tanpa mendapat pengesahannya jelas menunjukkan ia sememangnya berniat memburukkan nama dan imejnya. ''Pihak terbabit (akhbar berbahasa Inggeris) tidak pernah menghubungi saya sedangkan selama ini saya (mempunyai hubungan) begitu mesra dengan media, sesiapa pun boleh akses kepada saya,'' tambahnya.

Beliau mengakui akan menentang penjualan QSR yang menjadi aset strategik milik Kulim selagi menduduki kerusi Pengerusi Kulim. ''Kenapa saya buat begitu (mempertahankan)? Sebabnya QSR dan KFC adalah harta bernilai tinggi adalah milik masyarakat dan generasi masa depan. ''Saya berpendirian bahawa QSR wajar dikekalkan dalam tangan JCorp. Sekiranya JCorp sudah tidak berminat untuk menguasainya lagi, berikan kepada GLC lain supaya matlamat untuk memperkasakan ekonomi Melayu dapat dilaksanakan. ''Saya bersama pengurusan Kulim bertungkus-lumus mendapatkannya suatu ketika dahulu, jadi, adilkah saya pula kini dituduh mahu menjual QSR,'' tegas beliau lagi. Muhammad Ali tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang untuk mempertahankan dirinya.

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.