"Jadilah bangsa bermaruah, bertakwa" – MB Selangor

SHAH ALAM: Rakyat Selangor digesa menjadi bangsa yang bermaruah dan bertakwa berbanding menjadi bangsa yang mengagungkan Ketuanan Melayu.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, "orang yang mulia di sisi Allah adalah orang yang bertaqwa dan orang yang bertaqwa adalah mereka yang bermaruah tinggi”.

“Penguasa yang bermaruah akan disanjung, pentadbiran yang bermaruah akan dihormati dan rakyat yang bermaruah akan dipandang mulia”, kata beliau pada Majlis Persidangan Penghulu dan Penggawa Semenanjung Malaysia di Dewan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini hari ini.

Bagaimanapun, teks ucapan beliau dibacakan oleh Yaakob Sapari, exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan.

Namun, tindakan ahli-ahli Umno dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) yang bersorak sambil mengganggu ucapan tersebut dilihat sebagai tidak beradab dan bermaruah.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Sementara itu, dalam kenyataannya kepada media hari ini, Yaakob meluahkan rasa kesal terhadap ahli-ahli Umno Selangor yang membawa juru sorak hingga mengganggu ketika beliau sedang berucap.

Beliau berkata, hal ini begitu kontradiksi dengan semangat Ketuanan Melayu yang dilaungkan oleh Umno yang dilihat sebagai satu slogan retorik.

"Pihak penganjur berasa begitu kecewa atas tindakan biadap pimpinan Umno dan menggesa mereka yang terlibat tampil memohon maaf atas kelakuan buruk mereka," ujar beliau.

No comments

Powered by Blogger.