Kementerian Pelajaran perlu merancang pertukaran guru ke kawasan pedalaman

SHAH ALAM,19 Dis – Kementerian Pelajaran sepatutnya merancang pertukaran guru-guru Bahasa Inggeris ke kawasan pedalaman seperti di Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan kerajaan Selangor, Dr Halimah Ali berkata kementerian perlu mempertimbangkan kebajikan guru-guru terutamanya para guru veteran yang lama berkhidmat di sesuatu sekolah yang mana akan menyukarkan kehidupan seharian guru tersebut apabila mendapat arahan pertukaran.

“Bilanya melibatkan guru-guru yang jumlahnya besar sebegitu, mungkin di antara mereka guru-guru yang agak veteran, guru-guru yang lama dan ada diantara yang kurang sihat, ada anak kecil, dan ia melibatkan juga perpindahan sekolah, bukan sekolah rendah sahaja tetapi sekolah menengah dan sebagainya dan segala masalah yang perlu dilalui oleh para guru,”

Katanya lagi, keadaan akan menjadi bertambah sukar bagi guru yang mendirikan rumahtangga, guru wanita yang terpaksa mengikut suami dan guru-guru veteran yang menghadapi masalah kesihatan.

Beliau yang bersetuju bahawa penguasaan bahasa Inggeris para pelajar luar bandar perlu ditingkatkan tetapi alasan ini tidak patut digunakan oleh Kementerian Pelajaran untuk mengeluarkan arahan pertukaran terutamanya apabila melibatkan bilangan guru yang ramai.

Beliau seterusnya berkata, lebih sesuai sekiranya Kementerian mempertimbangkan guru-guru yang baru menamatkan latihan perguruan daripada guru-guru yang telah lama berkhdmat.

“Sekiranya mereka ini baru keluar, maknanya mereka telah bersedia untuk bekerja di mana-mana sahaja. Mungkin itu lebih tepat untuk diambil tindakan oleh Kementerian Pelajaran,” jelas beliau lagi.

Halimah seterusnya menggesa kementerian untuk mempertimbangkan semula keputusan ini dan mengkaji semula agar kesan sampingan terhadap guru-guru terlibat dapat dikurangkan ke tahap minimum.

Sebelum ini dilaporkan mengenai keluhan lebih 100 guru di Selangor dan Pulau Pinang yang menyuarakan rasa tidak puas hati akibat dipindahkan ke sekolah baru yang jauh dari tempat tinggal mereka.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dilaporkan berkata penempatan semula ini dilihat membebankan guru-guru terbabit dan pertubuhan itu memohon agar kerajaan menimbangkan semula pemindahan itu.

No comments

Powered by Blogger.