Tarikh PRU 13 dari kaca mata rakyat

Spekulasi mengenai tarikh sebenar Pilihan Raya Umum ke-13 kini makin hangat diperkatakan.

Bukan sahaja dari pemerhati-pemerhati politik semata-mata bahkan juga para pemimpin politik serta orang kebanyakan umumnya.

Debaran menantikan tarikh PRU 13 kali ini lebih signifikan kerana kedua-dua pihak (kerajaan mahupun pembangkang) masing-masing mempunyai alasan untuk membuktikan bahawa mereka masih relevan dalam persada politik negara.

Bagi pakatan pembangkang, inilah masa terbaik untuk mereka mengukuhkan pengaruh dan sokongan dalam kalangan rakyat berikutan momentum tsunami politik PRU 12 yang bersejarah. Harapan mereka kini ialah agar momentum tsunami politik PRU 12 akan dibawa ke PRU 13 seterusnya membolehkan mereka menguasai Putrajaya seperti yang dilaung-laungkan sebelum ini.

Dari pihak pemerintah pula, tempoh kritikal ini akan menyaksikan sama ada segala agenda transformasi yang diusahakan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selama satu tahun setengah menerusi platform 1Malaysia akan diterima rakyat atau sebaliknya.

Ia juga akan menjadi penanda aras kepada sejauh mana kebangkitan Barisan Nasional dalam politik negara berikutan kemenangan berganda pada Pilihan Raya Kecil di Batu Sapi dan Galas, adalah trend yang berkekalan ataupun bersifat sementara sahaja.

Dalam konteks ini, nampaknya tokoh-tokoh politik yang lebih bersemangat dan berkobar-kobar untuk turun padang mendekati rakyat, seolah-olah selama ini mereka tidak pernah mendekati rakyat.

Bagi pemimpin-pemimpin politik, inilah masa terbaik untuk mendekati rakyat secara agresif, lebih agresif berbanding hari-hari biasa. Anehnya, apakah yang pemimpin politik telah buat selama ini? Duduk di pejabat goyang kaki?

Jelas terserlah sikap kepura-puraan di pihak segelintir pemimpin politik yang sanggup melakukan apa sahaja untuk meraih sokongan waima memastikan diri mereka sentiasa diperhatikan.

Sudah tentulah mereka bersemangat kerana setiap pemimpin politik mempunyai niat untuk bertanding sebagai calon pilihan raya. Bayangkan faedah yang akan dinikmati apabila bergelar sebagai Yang Berhormat. Mungkin naik pangkat dalam parti, mendapat jawatan dalam Kabinet malah menjadi seorang yang terkenal dan diburu oleh media seperti selebriti Hollywood.

Maka dilakukan perang psikologi, perang lidah malah tikam-menikam yang adakalanya tidak masuk akal dan mencerminkan sifat kebudak-budakan dalam amalan berpolitik mereka.

Hanya disebabkan tarikh PRU, parti-parti dan pemimpin politik begitu teruja dan sanggup menggadaikan maruah mereka. Berbaloikah? Kenapa tidak menjadi seorang yang terus-terang dan jujur kepada perjuangan? Be yourself, kata orang!

Tetapi adakah penentuan tarikh PRU 13 begitu penting pada pandangan kebanyakan rakyat? Sukar untuk menentukan sentimen itu tetapi secara umumnya, ramai yang akan memandang sinis terhadap isu itu walaupun tidak secara terbuka.

Soal bilakah PRU akan diadakan tidak penting kerana ini adalah soal orang politik. Lebih-lebih lagi juga, ini adalah isu percaturan yang taktikal. Orang-orang politik mungkin lebih arif untuk mencongak tarikh terbaik untuk penganjuran PRU, bukannya rakyat.

Rakyat sebaliknya hanya bertindak sebagai penonton yang pasif. Bertindak sebagai penonton pasif yang hanya didekati oleh pemimpin politik setiap 5 tahun sekali. Pernyataan ini mungkin agak keras bunyinya, pedih untuk ditelan tetapi ia adalah senario sebenar yang masih berlaku dan mendukacitakan.

Tarikh PRU akan tetap tinggal tarikh PRU seperti tarikh-tarikh lain. Tatkala pemimpin politik mempunyai perasaan nostalgik terhadap sesuatu tarikh, rakyat marhaen berkemungkinan tidak melayan sangat akan signifikannya itu.

Jelas, kebimbangan rakyat sudah tentulah menjurus kepada sejauh mana keupayaan pemimpin dan parti politik yang dipilih mampu mengendalikan urus tadbir negara dengan baik. Lebih penting lagi, mereka juga ingin mengetahui sejauhmana kejujuran pemimpin politik pilihannya menunaikan segala janji yang telah dinyatakan pada kempen pilihan raya seperti yang dinyatakan.

Selain itu, rakyat juga tertunggu-tunggu akan kehadiran pemimpin politik yang mampu bercakap dan memperjuangkan hak semua rakyat Malaysia secara jujur tanpa beretorik sepanjang masa. Yang ingin dilihat adalah hasil dan kesan-kesan dasar kepada kehidupan rakyat. Usahlah bercakap mengenai pengimplementasiannya jika rakyat tidak dimaklumkan mengenai dasar-dasar yang ingin dilaksanakan.

Seperkara lagi yang wajar dipelajari oleh pemimpin politik kita agar tidak dipandang serong oleh rakyat ialah belajar untuk kurang beretorik dan berpolitiking, dan sebaliknya melaksanakan tugas sebagai seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab.

Seorang pemimpin atau wakil rakyat yang bertanggungjawab sesungguhnya adalah mereka yang senantiasa peka kepada aspirasi rakyat, menjadi pemimpin kepada semua rakyat tanpa mengenal kaum dan ‘answerable’ kepada rakyat.

Kelazimannya, pemimpin yang sering banyak beretorik dan berpolemik itu adalah mereka yang tidak mempunyai hati luhur untuk berbuat sesuatu kepada rakyat. Sememangnya ketika berjanji cukup mudah tetapi untuk menunaikan segala janji-janji yang diberikan, ternyata lebih sukar daripada yang dijangkakan. Hakikat bahawa masih timbul kesangsian dalam diri rakyat mengenai janji-janji politik pemimpin tidak boleh dipandang remeh begitu sahaja. Sejak akhir-akhir ini, begitu banyak insiden membabitkan pemimpin politik yang cuba memperlecehkan kebijaksanaan rakyat.

Contoh terbaik ialah tindakan segelintir pemimpin politik melompat parti tetapi tidak berani untuk meletak jawatan di sebalik tindakannya itu. Ada pula yang berkelakuan kurang sopan ketika berbahas di Parlimen dan tidak kurang pula mendendangkan retorik politik yang memualkan.

Melihat kepada insiden-insiden yang dimaksudkan, rakyat sudah pasti tidak mahu undi yang diberikan mereka dikhianati oleh pemimpin politik yang mempunyai agenda tersendiri. Jenis pemimpin sedemikian tidak patut mendapat tempat dalam persada politik negara bahkan mereka ini harus ditolak bulat-bulat kerana cuba membohongi rakyat.

Sebagai pengundi, pilihan rakyat sepatutnya dihormati dan pemimpin yang dipilih itu haruslah menunaikan tanggungjawab mereka dengan ikhlas dan jujur. Justeru, sebarang cubaan untuk mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat tidak akan disambut dengan kebisuan tetapi dengan tentangan yang kuat.

Perlu diingatkan bahawa kumpulan rakyat dewasa ini bukan lagi rakyat yang hidup 30 atau 40 tahun yang lalu. Takuk pemikiran sudah berubah rentetan ledakan informasi dan teknologi maklumat. Apa yang tidak diperolehi dalam media arus perdana, ianya boleh diperolehi dalam internet yang menjadi wadah alternatif masa kini.

Natijahnya, pemimpin-pemimpin politik boleh terus bermain atau berteka-teki dengan tarikh PRU 13 di khalayak. Boleh buat penafian, boleh juga memberi bayangan. Tetapi itu tidak bermakna rakyat akan terikut-ikut dengan permainan sedemikian.

Sebaliknya, para pemimpin politik ini perlu berusaha dengan lebih keras, lebih keras daripada yang sebelumnya untuk meyakinkan rakyat sebab-sebab kita harus memberikan sokongan kepada mereka. Masanya sudah tiba masa untuk kita sebagai pengundi memilih pemimpin-pemimpin politik yang boleh dipercayai, yang mempunyai agenda rakyat dalam hati mereka.

Pemilihan yang bijak akan memastikan insiden-insiden seperti budaya melompat parti oleh segelintir pemimpin tidak akan berulang di lain hari.

Tarikh PRU tidak akan membawa sebarang makna sekiranya kepercayaan rakyat dikhianati. Bukankah lebih baik jika isu-isu penting seperti rasuah, jenayah, pendatang asing tanpa izin (PATI) produktiviti negara serta perubahan takuk minda rakyat yang harus diberikan keutamaan?

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

No comments

Powered by Blogger.