Laporan Audit Sahkan Projek Terbiar Di Pangkor

Kenyataan Akhbar YB V.Sivakumar pada 17 Disember 2010


Laporan Audit Sahkan Projek Terbiar Di Pangkor


Dalam Program merasmikan DWJ Hotel dan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Syarikat Pembinaan Caj Maju Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah membuat satu kenyataan yang mencabar kredibiliti Ketua Audit Negara. Beliau berkata , “ Dakwaan pihak pembangkang sebelum ini kononnya banyak projek terbengkalai terutama di Pangkor adalah tidak benar sama sekali, sebabnya projek berkenaan mengalami masalah kelewatan sahaja”.

Kenyataan Datuk Seri Dr Zambry sebenarnya mempertikaikan laporan Ketua Audit Negara berhubung dengan aktiviti Jabatan/Agensi dan pengurusan syarikat kerajaan Negeri Perak tahun 2009. Soal projek terbiar ini telah dibangkitkan dalam persidangan Dewan Negeri Perak baru-baru ini. YB Nga Kor Ming dalam ucapan bahas belanjawan ada menyebut tentang projek-projek terbengkalai di Pangkor dengan bukti yang kukuh. Beliau telah merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara yang ada menyatakan secara terang-terang mengenai projek-projek terbiar setelah siap dibina di Pulau Pangkor.

Saya tidak tahu kenapa Datuk Seri Dr Zambry menafikan perkara yang benar. Laporan Audit dibuat setelah penyiasatan dan penelitian yang sewajarnya. Jika beliau tidak bersetuju dengan Laporan Ketua Audit bermaksud beliau mencabar kredibiliti dan keupayaan Jabatan Audit Negara. Beliau tidak seharusnya menafikan satu kebenaran kerana ia akan mencemarkan kredibiliti beliau sendiri sebagai seorang menteri besar.

Disini saya ingin memetik ungkapan daripada Laporan Ketua Audit Negara pada muka surat 129 perkara 9.4.2 Bangunan / Premis/ Peralatan Tidak Digunakan
‘Majlis Perbandaran Manjung telah membina lima bangunan di Pangkor bagi tahun 1991 hingga 1999 dengan kos RM 4.89 juta dan nilai semasa berjumlah RM 3.53 juta. Semakan fizikal Audit mendapati bangunan-bangunan ini telah terbiar, usang, reput dipenuhi semak samun, menjadi tempat longgokan sampah dan tidak ekonomi untuk dibaiki. Semakan juga mendapati tiada pemantauan dilakukan oleh pihak Majlis’.Laporan ketua Audit Negara juga disediakan dengan gambar-gambar projek usang Majlis Daerah Manjung.

Laporan ini membuktikan bahawa terdapat nilai susutan asset sebanyak RM1.36 juta akibat projek-projek ini yang tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat Pangkor.
Datuk Seri Dr Zambry juga dengan bangganya membuat kenyataan bahawa Peruntukan RM8.2 billion dari Rancangan Malaysia Kesembilan untuk Kerajaan Negeri Perak berjaya diuruskan dengan baiknya untuk membangunkan negeri dengan pencapaian 93.1%. Menurutnya , pencapaian terbaik ini meletakkan negeri Perak pada kedudukan pertama dalam pengurusan pembangunan bagi RMK- 9. Kenyataan beliau ini tidak mempunyai sebarang asas untuk dibanggakan. Sebagai contoh, jika kita memberi wang sebanyak RM 1000 kepada seorang pelajar sekolah menengah untuk dibelanjakan, sudah tentu dia tahu membelanjakan wang tersebut. Tetapi persoalannya adakah wang itu telah dibelanjakan secara hemah dan betul. Apakah asasnya jika budak itu dengan bangga memberitahu seluruh dunia bahawa dia telah berjaya membelanjakan 93% daripada wang yang diberikan kepada beliau. Kita harus tahu bagaimana 93% daripada wang itu telah dibelanjakan.

Berikut adalah beberapa contoh pembaziran wang rakyat yang tidak boleh dibanggakan oleh kerajaan:

1) Kelewatan dalam menyiapkan projek Kompleks Kesihatan Haiwan Zoo Taiping meningkatkan kos sebanyak RM 168, 152 iaitu 3.5% daripada RM 4.91 juta kepada RM 5.08 juta

2) Kelewatan pembinaan Bangunan Kompleks Pejabat MPTI telah meningkatkan kos sejumlah RM 2.21 juta iaitu 39.9% daripada RM 5.54 juta kepada RM 7.75 juta

3) Kos projek Bangunan Perniagaan Dan Pejabat MPKK meningkat daripada RM3.98 juta kepada harga kontrak baru berjumlah RM5.33 juta iaitu 33.9% kerana penamatan kontraktor pertama.

4) Projek bernilai RM 10 juta Dewan Serbaguna Padang Bandaran Kuala Kangsar terbengkalai setelah 63% kerja disiapkan. Kontraktor baru terpaksa dilantik untuk sambung kerja.

5) Pavilion Pameran di Gua Tempurung yang bernilai RM 0.29 juta yang siap dibina pada Mac 2008 tidak digunakan lagi kerana tiada aktiviti pameran dilaksanakan.

Projek-projek pembangunan harus membawa manfaat kepada rakyat jelata. Tidak ada gunanya jika kita hanya mahu satu nilai statistik yang besar tetapi pembangunan itu tidak dapat dirasai oleh masyarakat. Kewujudan struktur-struktur fizikal sahaja bukan boleh dianggap sebagai pembangunan. Pembangunan mempunyai pengertian yang lebih besar.

No comments

Powered by Blogger.