Pakatan Rakyat hormati titah Sultan

SHAH ALAM, 1 Dis - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Muda, Shuhaimi Shafie menegaskan Pakatan Rakyat atau Pakatan, menerima dan menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah berhubung segelintir individu yang mempersoalkan institusi Raja-raja Melayu dan keperluannya dalam sistem pemerintahan kini.

Shuhaimi berkata, sejarah membuktikan Umno yang menghancurkan Melayu dan Kesultanan Melayu, mengurangkan kuasa Melayu serta tidak menghormati Institusi Raja-raja Melayu.

Beliau berkata, pencabulan kuasa-kuasa istana berlaku sebanyak tiga kali pada zaman Tun Mahathir Mohamed menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno.

“Apa yang dititahkan oleh Sultan, kita hormati prinsip dan pada masa yang sama kita mengharapkan mereka yang berada di belakang yang membuat draf atau teks ucapan perlu memahami apa yg diperjuangkan Pakatan.

“Saya nak jelaskan, kelompok sebenarnya yang menghakis kuasa adalah di bawah pimpinan Mahathir Mohamad dulu,” katanya.

Shuhaimi berkata demikian ketika dihubungi SelangorKini bagi mengulas isu berhubung titah Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah, melahirkan dukacita kerana ada segelintir masyarakat yang berhijrah ke negeri ini, terutamanya Melayu, sanggup mempersoalkan kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, kerelevanan Institusi Raja-raja Melayu serta peranannya dalam sistem pemerintahan negara.

Menurut Shuhaimi, Pakatan tetap mendukung Perlembagaan Negara dan menolak cubaan Umno untuk memutar belit isu Ketuanan Melayu demi kelangsungan politik parti itu yang semakin rapuh.

No comments

Powered by Blogger.