Seorang tertuduh kes penipuan PKFZ mohon 26 tuduhan pilihan digugurkan

SHAH ALAM, 1 Dis – Seorang daripada tiga individu yang dituduh melakukan penipuan di dalam pelaksanaan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) telah memfailkan permohonan supaya kesemua 26 pertuduhan pilihan yang dikenakan ke atasnya digugurkan.

Ketua Unit Pelucuthakan Harta, Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Dzulkifli Ahmad memberitahu Mahkamah Sesyen Klang, yang bersidang di sini, hari ini bahawa Ketua Pegawai Operasi Kuala Dimensi Sdn Bhd, Stephen Abok, 52, telah memfailkan permohonan itu Isnin lepas.

Dzulkifli berkata, oleh itu pihak pendakwaan memohon kepada mahkamah supaya diberikan masa bagi menjawab permohonan Stephen.

Hakim Asmadi Ahmad kemudiannya menetapkan 11 Januari 2011 bagi mendengar permohonan Stephen.

Stephen, bekas Pengurus projek Kuala Dimensi Law Jenn Dong, 52 dan arkitek Bernard Tan Seng Swee, 49 dari BTA Architect mengaku tidak bersalah pada 8 Nov
lepas atas 24 pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees Bhd untuk membuat pembayaran berjumlah RM116.85 juta kepada Kuala Dimensi bagi dua projek di PKFZ.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di OSK Trustees Bhd, Plaza OSK Ampang antara 30 Jun 2006 sehingga 20 Jun 2008.

Ketiga-tiga mereka didakwa menipu OSK Trustees untuk mempercayai bahawa kerja-kerja infrastruktur elektrik untuk sistem 33kV bagi PKFZ, Pulau Indah telah dilaksanakan sedangkan mereka mengetahui bahawa kerja-kerja itu tidak dilaksanakan.

Mereka juga didakwa menipu OSK Trustees untuk mempercayai bahawa sistem elektrikal 33kV ke Precint 2 dan Precint 8 bagi PKFZ telah dilaksanakan sedangkan mereka mengetahui kerja-kerja itu tidak dilaksanakan.

Tindakan mereka itu didakwa telah mendorong OSK Trustees untuk membuat pembayaran berjumlah RM116.85 juta.

Selain itu, Stephen dan Tan juga mengaku tidak bersalah pada 8 Nov lepas terhadap dua lagi pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees di antara 31 Julai 2007
dan 8 Oktober 2008 dengan memperdaya syarikat pemegang amanah itu untukmempercayai bahawa sistem 33kV ke Precint 2 dan Precint 8 bagi PKFZ telah dilaksanakan.

Justeru, tindakan mereka telah mendorong OSK Trustees membayar RM5.42 juta kepada Kuala Dimensi.

Bagi setiap pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda jika disabitkan kesalahan.

Sebelum ini, Stephen dan Tan mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan asal menipu Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membabitkan tuntutan RM5.42 juta pada 31 Julai dan 21 Sept 2007.

Tan dan Law pula menghadapi 24 pertuduhan asal menipu LPK bagi mendapatkan pengesahan pembayaran sebanyak RM116.85 juta kepada Kuala Dimensi melibatkan dua projek yang sama antara 30 Jun 2006 dan 30 Mei 2008.

Stephen di dalam afidavit sokongannya berkata beliau telah dinasihatkan oleh peguambelanya, Hisham Teh Pok Teik bahawa kesemua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya adalah tidak berasas.

“Sepanjang pengetahuan saya OSK Trustees Bhd tidak ada mengadu kepada saya atau KDSB (Kuala Dimensi) bahawa mereka telah diperdaya atau ditipu,” katanya.

Sebaliknya OSK Trustees dalam kenyataan dikeluarkan oleh Financial Daily bertarikh 10 November 2010 berkata ia tidak menyedari tentang apa-apa penipuan.

Pada proseding hari ini, Law diwakili oleh peguamnya Tan Hock Chuan manakala Tan diwakili oleh Datuk V.Sithambaram.

-Bernama

No comments

Powered by Blogger.