Pakatan Rakyat sudah berbincang pembahagian kerusi pilihanraya

Oleh Muda Mohd Noor

PETALING JAYA: Para pemimpin Pakatan Rakyat di peringkat negeri sudah mula berbincang mengenai pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Menurut sumber, perbincangan itu di kalangan pemimpin dimulakan sejak beberapa minggu lalu dan dijangka selesai awal tahun depan.

Pakatan Rakyat merupakan gabungan PAS, PKR dan DAP dibentuk bagi menghadapi pilihanraya umum 2008 dan memenangi 81 kerusi Parlimen.

"Memang perbincangan mengenai pembahagian kerusi sudah dibuat di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat tetapi belum selesai.

"Mereka berbincang mengenai kerusi yang akan ditandingi tetapi berpegang kepada persetujuan 2008 iaitu jika kerusi PAS, ia kekal kepada PAS.

"Mengikut persefahaman 2008, kerusi majoriti pengundi Melayu akan ditandingi oleh calon PAS. kerusi majoriti Cina untuk DAP manakala kawasan bercampur terutama di bandar merupakan milik PKR," katanya.

Bagaimanapun, satu sumber lain memberitahu, berapa kerusi Parlimen yang kini diwakili PKR akan ditandingi oleh PAS dalam pilihanraya umum akan datang.

Katanya, salah satu kerusi tersebut ialah Parlimen Machang di Kelantan yang kini diwakili oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

"PAS mahu bertanding di kerusi itu dengan alasan Machang merupakan kerusi tradisi PAS. Penyokong PAS mahu kerusi itu ditandingi oleh calon mereka.

"Kerusi itu ditandingi oleh Saifuddin kerana ketika waktu itu beliau setiausaha pengurus besar Yayasan Tok Kenali yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS.

"Satu perkara lagi kerana PAS meragui mengenai jentera pilihanraya PKR di Machang kerana dalam pilihanraya umum lalu, petugas PAS lebih ramai dari petugas PKR," katanya.

Sementara itu difahamkan PAS juga mahu mengambll semula kerusi parimen Dungun yang ditandingi ketua AMK, Shamsul iskandar Md Akin dalam pilihanraya umum lalu.

No comments

Powered by Blogger.